Tatkala saingan sukan permotoran tempatan sudah diberi bayangan akan mendapat lampu hijau untuk dianjurkan semula, nasib Grand Prix (GP) Malaysia yang sepatutnya berlangsung 30 November depan masih belum dipastikan.

Apatah lagi Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sport, Carmello Ezpeleta, berat hati untuk menganjurkan saingan MotoGP di luar Eropah memandangkan polisi tiada penonton di litar bakal merencatkan kutipan tiket.

SIC kini cuba berbincang dengan Dorna untuk membuka laluan penganjurannya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di samping masih menanti pengumuman rasmi daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuka semula pintu sempadan negara.

"Kami telah berhubung dengan Carmello dan Dorna sekiranya GP Malaysia boleh diadakan November depan memandangkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam MotoGP agak ketat berbanding di sini.

"Kalau jadi, SOP itu sudah tersedia.

"Tetapi kami perlu tunggu keputusannya hujung bulan ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif.

Hari ini Menteri Belia & Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican telah membuat lawatan ke SIC untuk melihat...

Posted by Sepang Circuit on Friday, July 3, 2020


Sementara itu, status perlumbaan GP Malaysia tahun ini masih tergantung memandangkan ia tertakluk kepada polisi pintu sempadan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Langkah mengekang penularan COVID-19 banyak bergantung kepada kawalan sempadan.

"Buat masa ini, perlumbaan yang diadakan di sini terhad kepada peserta tempatan.

"Apabila sempadan negara dibuka, Insya-Allah perlumbaan (berskala) antarabangsa boleh dianjurkan di SIC," kata Presiden Persatuan Motorsports Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Sementara itu, pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi, tidak rela terlepas baki saingan musim ini apabila masih belum terima surat jemputan daripada Dorna bagi kebenaran berlumba di Sepanyol.

Begitupun, maklumat terbaru diterima Khairul Idham serta dua pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayuddin dan Hafizh Syahrin Abdullah, mengenai dokumen berkaitan akan diterima lusa.

Ia penting bagi membolehkan mereka melepasi pintu sempadan Malaysia dan memasuki Sepanyol memandangkan Kesatuan Eropah (EU) baru sahaja mengubah ketetapan mengenai kemasukan warga asing ke benua itu.

Tidak cukup dengan itu, Khairul Idham juga mungkin terpaksa melupakan sesi ujian persendirian bersama jenteranya memandangkan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) turut mengeluarkan larangan tersebut yang membabitkan semua kategori, kelmarin.

"Kami sedang menunggu surat tawaran untuk terbang ke Sepanyol.

"Motivasi saya tetap tinggi jadi buat masa ini, saya hanya mampu berlari dan menjalani latihan di gimnasium di sini.

"Saya belum pasti apakah akan ke sana pada Isnin dan Selasa ini," kata pelumba kelahiran Perak itu.