Alex Rins berkemungkinan akan terlepas baki saingan MotoGP musim ini selepas mengalami keretakan dan terseliuh bahu kanannya dalam pusingan kelayakan GP Sepanyol semalam.

Penunggang Suzuki Ecstar itu hilang kawalan di selekoh 11 pusingan terakhir Q2, ketika Jack Miller sudahpun terjatuh, dan dikejarkan ke hospital selepas kecederaan itu dikesan di khemah perubatan.

Diagnosis itu memberikan tamparan hebat buat pelumba Sepanyol berkenaan, yang menempatkan diri di petak ke sembilan dalam perlumbaan hari ini.

Satu kenyataan yang dikeluarkan, pasukan itu berkata: "Selepas kemalangan itu, Alex mengalami kesakitan di bahu kanannya.

"Dia dibawa ke Clinica Mobile untuk menjalani imbasan X-ray, di mana doktor mengesan terdapat keretakan dan bahunya terseliuh dan memerlukan sedatif untuk mengurangkan rasa sakitnya.

"Alex akan dipindahkan ke hospital untuk ujian lanjut."