Pihak pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kekal dengan prinsip untuk tidak menamakan pelumba tempatan bagi mengisi slot peluang khas dalam perlumbaan MotoGP di Sepang, Ahad ini kerana berpendapat tiada pelumba yang benar-benar mencapai standard yang diperlukan.

Ia bukanlah satu keputusan mengejutkan memandangkan tahun lalu merupakan kali pertama SIC melepaskan slot itu sejak 2009.

Selain pelumba yang terikat dengan majikan masing-masing dalam kejohanan berbeza, tiada seorang pun pelumba lain yang boleh diketengahkan untuk mengisi slot berkenaan.

Ia menyaksikan hanya dua pelumba akan mewakili negara, iaitu Hafizh Syahrin Abdulllah, dalam kelas perdana, MotoGP dan Adam Norrodin (Moto2).

"Buat masa ini, mereka (pelumba negara) terikat dengan kejohanan lain dan majikan masing-masing.

"Tetapi kita sedang bercakap mengenai Kejohanan Dunia walaupun ia hanya peluang khas.

"Kami tidak mahu meletakkan pelumba hanya sekadar tangkap muat.

"Anda perlu bersedia (untuk terpilih)," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

Dengan mengambil iktibar daripada senario yang berlaku dalam Grand Prix Australia minggu lalu, SIC menyediakan pelan sokongan bersama penganjur MotoGP, Dorna, seandainya cuaca tidak menentu di litar itu hujung minggu ini.

"Kami sudah bersedia dengan segala kemungkinan.

"Tetapi ia pernah berlaku sekitar 2005 atau 2006 di mana saingan pada hari Sabtu terpaksa kami batalkan disebabkan hujan dan pusingan kelayakan ditunda pada pagi Ahad.

"Itu adalah SOP (prosedur operasi standard) perlumbaan tetapi kita tunggu sahajalah.

"Keputusan akan dibuat oleh pihak Dorna sendiri tetapi kami sudah bersedia terhadap sebarang kemungkinan," tambahnya.