Marc Marquez tidak berselindung di sebalik kemahuan menawan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini bagi memadam segala keraguan dalam memastikan kejuaraan MotoGP musim ini.

Marquez yang juga juara bertahan hanya perlu menamatkan perlumbaan di hadapan pencabar terdekatnya, Andrea Dovizioso, untuk kekal sebagai penunggang terbaik dunia.

Ketika ini, Marquez dan Dovizioso dipisahkan dengan jurang besar, 33 mata, selepas mengharungi 16 perlumbaan.

Aksi hujung minggu ini bakal menyaksikan sesuatu yang menakjubkan tatkala bintang Repsol Honda, Marquez, di ambang memastikan mahkota kejuaraan musim ini menjadi miliknya.

Atas dasar itu, peminat permotoran tanah air akan dapat menyaksikan sesuatu yang menakjubkan kerana Dovizioso sudah pasti tidak akan merelakan laluan mudah buat Marquez.

"Ia merupakan saat paling penting untuk setiap penunggang. Dengan berbaki dua perlumbaan, kami akan berusaha untuk menawan perlumbaan di Sepang," katanya.

Marquez juga sempat berkongsi pandangan mengenai SIC menjelang latihan bebas, Jumaat ini.

Kali terakhir pelumba kebanggaan Sepanyol itu unggul di Sepang adalah ketika menjulang gelaran kedua MotoGP pada musim 2014.

"Setiap penunggang mengetahui selok-belok di Sepang. Kami telah banyak melakukan ujian pada pra-musim. Ia akan menjadi minggu yang sukar, cuaca yang panas akan menguji fizikal kami dan keadaan jentera," katanya.

Marquez turut sempat menguji kemahirannya di gelanggang badminton apabila bergandingan bersama ikon perseorangan negara, Rashid Sidek, ketika menentang gandingan legenda beregu, Yap Kim Hock, dan penunggang Ducati, Jorge Lorenzo, di Velodrom Nilai, hari ini.