Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali, meletakkan harapan tinggi kepada Fabio Quartararo untuk membuktikan kecemerlangan sekali lagi pada tahun terakhirnya bersama pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT).

Tunggangan cemerlang Quartararo sekali lagi ditagih SRT dalam saingan MotoGP musim 2020 selepas pelumba itu meraih gelaran rookie terbaik tahun lalu.

Musim ini menyaksikan pelumba berasal dari Perancis itu memperoleh jentera sama seperti pasukan pengeluar, Monster Energy Yamaha yang dibarisi Valentino Rossi dan Maverick Vinales.

Quartararo bakal membuat penampilan terakhir bersama SRT selepas menandatangani kontrak dengan Yamaha sehingga tahun 2022.

"Quartararo akan menggunakan jentera yang sama dengan pasukan pengeluar dan sememangnya jangkaan diletakkan kepadanya. Buat masa ini, masa depannya sudah terjamin, jadi ia adalah peluang buat dia membuktikan kemampuan bersama pasukan," kata Razlan.

Sementara itu, pelumba berusia 20 tahun itu menyahut cabaran SRT untuk membuktikan kemampuannya, apatah lagi ketika ini dia tidak berdepan tekanan tentang masa depannya.

"Saya mengharapkan musim yang cemerlang kali ini. Kami akan melihat apa yang bakal ditampilkan pasukan lain yang cuba untuk membuktikan kemampuan sebenar. Esok bermulanya musim baru dan saya akan cuba melakukan yang terbaik," kata Quartararo.




Editor: Ammar Hakim