Status pelumba negara dalam Kejohanan Dunia MotoGP masih jadi tanda tanya.

Ketika ini, pintu sempadan negara masih belum dibuka sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) Mac lalu, sedangkan kalendar baru saingan itu akan bermula 19 Julai ini.

Keadaan itu mencetuskan kebimbangan buat barisan pelumba negara memandangkan polisi kerajaan ketika ini melarang pergerakan keluar-masuk di kesemua pintu sempadan negara bagi menghalang penularan wabak Covid-19.

Pelumba Moto2, Hafizh Syahrin Abdullah, hanya mempunyai tempoh sebulan untuk mendapatkan kebenaran ke luar negara dan berharap pihak kerajaan dapat memberikan kelonggaran itu.

"Mungkin saya dan pihak pengurusan saya akan mencuba untuk membuat satu surat yang mengatakan saya perlu berlumba.

"Saya tidak tahu sama ada ia akan berhasil atau tidak.

"Saya masih belum mencuba kerana ada sebulan lagi sebelum perlumbaan.

"Ia tidaklah terlalu lama tetapi saya masih boleh menunggu beberapa hari lagi untuk melihat sama ada kami boleh berlumba atau tidak" katanya dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Haliza Hamzah.

Tambah Hafizh Syahrin, dia perlu berlumba di Jerez, Sepanyol, bulan depan bagi mencerahkan peluangnya untuk mendapatkan kedudukan lima terbaik musim ini.

"Jika keadaan masih seperti ini, saya perlu membuat rayuan kerana saya perlu ke Sepanyol untuk berlumba bulan depan," tambahnya.

Sementara itu, Prinsipal TKKR SAG, Bobie Farid Shamsuddin, mempunyai pandangan berbeza dengan berkata sekiranya kerajaan tidak memberikan kelonggaran itu, dia enggan menghantar pelumbanya, Kasma Daniel Kasmayudin, ke Jerez.

"Saya berbelah-bahagi dalam isu ini sebab apabila jadual perlumbaan diumumkan, ia bermula pada bulan depan dan kami perlu mendapat kepastian daripada MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sama ada pelumba Malaysia dibenarkan untuk ke luar negara atau tidak.

"Tetapi berdasarkan keadaan sekarang, ia tidak dibenarkan, jadi saya bersetuju dengan pendekatan itu," katanya.