Sesi latihan kedua Moto3, Grand Prix (GP) Malaysia hari ini menyaksikan pelumba-pelumba negara memanfaatkan sebaik mungkin keadaan litar basah di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan Adam Norrodin dan pelumba wildcard, Kasma Daniel Kasmayudin, menghuni kelompok 10 teratas.

Adam, yang menamatkan perlumbaan di tangga kelapan dalam GP Australia minggu lalu, pastinya mahu menambah seberapa banyak mata di laman sendiri.

Pelumba berusia 19 tahun itu telah mengumpul 37 mata untuk berada di ranking ke-17 keseluruhan pelumba Moto3 dan sudah pasti berhajat untuk mengekalkan prestasi selepas mencatat masa kedua terpantas dalam sesi bebas pertama.

Pelumba dari Parit Raja, Johor, itu masih boleh berpuas hati di tempat keenam dan pelumba Petronas Sprinta Racing, Kasma Daniel, pula wajar diberi perhatian dengan menamatkan saingan hari ini di tempat kesembilan.

Aron Canet yang menunggang jentera Honda mencatat masa terpantas 2 minit 28.807 saat.

Sementara itu, dalam kategori Moto2, Hafizh Syahrin, yang merekodkan catatan ke-12 terpantas dalam sesi latihan bebas pertama pada pagi tadi, sekadar berada di kedudukan ke-18 pada sesi petang tatkala kedudukan Khairul Idham Pawi melonjak dari kedudukan ke-27 kepada 21.

Saingan Moto2 itu menyaksikan Alex Marquez dari Sepanyol muncul terpantas dengan catatan 2:24.074s manakala Lorenzo Badalsarri mengekori di tempat kedua, ketinggalan 0.034 saat, diikuti Miguel Oliviera di tempat ketiga.