Takaaki Nakagami berkata dia berasa seperti "seorang kanak-kanak" ketika memburu penamat podium dalam Grand Prix Teruel esok selepas mencatatkan masa terpantas dalam sesi latihan bebas semalam.

Nakagami menandatangani kontrak jangka panjang dengan LCR Honda, Khamis lalu dan telah membuktikan betapa pasukannya melakukan pilihan tepat dalam sesi latihan yang menyaksikan pasukan Ducati bergelut di Motorland Aragon.

Pelumba Jepun itu mencatatkan masa terpantas hampir 1.10 saat mengatasi Maverick Vinales manakala Cal Crutchlow pula menjadi pelumba Honda kedua dalam kedudukan tiga teratas.

Alex Marquez merupakan pelumba terpantas dalam FP1 tetapi tidak dapat mempamerkan tunggangan terbaiknya dalam sesi kedua selepas kemalangan.

Pendahulu keseluruhan, Joan Mir, berada di kedudukan kelima di belakang pesaing utama, Fabio Quartararo.

Malang buat pelumba Ducati apabila Danilo Petrucci, Andrea Dovizioso, Francesco Bagnaia, Tito Rabat dan Jack Miller mengisi lima tempat terbawah.

Nakagami pula akan melalui sesi kelayakan hari ini dengan semangat tinggi sambil berkata: "Sebelum setiap perlumbaan, saya selalu katakan bahawa saya mahu penamat podium pertama pada hujung minggu tetapi malangnya ia masih belum berlaku.

"Amat penting untuk beraksi tekal musim ini dan setakat ini, saya gembira dengan prestasi saya. Pada masa sama, kami perlu meningkat dan saya percaya keputusannya akan tiba, terutama pada hujung minggu ini, saya amat yakin.

"Mengapa? kerana semalam saya mengumumkan mengenai kontrak baru dan kini saya berasa amat lapang.

"Saya tidak memikirkan mengenai masa depan, tidak perlu bercakap mengenainya.

"Saya seperti kanak-kanak, menikmati setiap pusingan dengan motosikal ini dan ia kelihatan agak baik.

"Saya fikir sudah masanya untuk menunjukkan yang kami boleh menamatkan perlumbaan di podium tetapi satu-satunya cara untuk melakukannya adalah dengan memberikan yang terbaik dan sudah pasti keputusannya akan tiba," katanya.