Joan Mir mengikuti jejak Alex Rins apabila menandatangani kontrak baru dengan Suzuki sambil menyatakan ia bagaikan "impian menjadi kenyataan" untuk kekal bersama pasukan itu.

Selepas kemunculan pertama dalam MotoGP musim lalu yang menyaksikan dia mengumpulkan 92 mata untuk menduduki tempat ke-12 saingan, Mir bersetuju untuk memeterai perjanjian baru selama dua tahun.

Penunggang berusia 22 tahun itu menyertai rakan sepasukannya dari Sepanyol berkenaan untuk menyatakan komitmen dengan Suzuki dalam kempen 2021 dan 2022, justeru ia satu keputusan yang sangat menggembirakan bekas juara Moto3 tersebut.

"Saya sangat gembira dapat menandatangani kontrak dengan Suzuki selama dua tahun lagi -- pembaharuan kontrak adalah perkara terbaik yang boleh berlaku dan ia satu impian yang menjadi kenyataan! Sangat penting buat saya untuk terus berusaha kerana sekarang saya akan mempunyai lebih banyak masa untuk belajar dan lebih waktu untuk membuktikan potensi saya,"katanya.

"Dua tahun boleh berlalu dengan cepat tetapi saya sudah bersedia untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dan kami berusaha setiap hari untuk merealisasikannya.


"Secara peribadi saya juga sangat gembira kerana saya dikelilingi pasukan dan kru yang sangat baik.

"Saya benar-benar ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang di Suzuki atas kepercayaan mereka terhadap saya, ayuh kita lihat apakah saya dapat memperoleh hasil yang diharapkan."

Mir dan Rins berharap dapat kembali menggunakan jentera mereka selepas kalendar MotoGP tahun ini terjejas teruk berikutan krisis novel koronavirus (Covid-19).

Perlumbaan di Jerman, Belanda dan Finland dibatalkan baru-baru ini kerana pandemik itu, namun mereka masih mengharapkan 10 perlumbaan dapat diadakan.