Joan Mir bergelut sebelum dinobatkan sebagai juara MotoGP buat pertama kalinya dalam Grand Prix (GP) Valencia, malam tadi.

Hanya seminggu selepas meraih kemenangan pertamanya dalam kelas perdana di trek yang sama, kedudukan ketujuh di Litar Ricardo Tormo itu sudah cukup buat Mir mengesahkan gelarannya.

Dia muncul juara dunia pertama buat Suzuki dalam era MotoGP selepas Kenny Roberts Jr melakukannya pada 2000.

Ditanya bagaimana perasaannya sebaik tiba ke garaj untuk meraikannya, Mir berkata: "Sukar dipercayai. Saya tidak mempunyai kata-kata untuk menggambarkan emosi ini kerana ia adalah sesuatu yang saya perjuangkan sepanjang hidup.

"Pada masa ini, saya tidak mampu untuk ketawa dan tidak boleh menangis -- ini adalah gabungan emosi. Saya sangat gembira kerana ia memang menjadi sasaran hidup saya dan ahirnya dapat merealisasikannya.

"Saya tidak percaya apa yang sedang berlaku. Saya memerlukan masa untuk berehat dan memahami apa yang berlaku kerana saya kehilangan kata-kata."

Gelaran itu pasti akan tertangguh sekiranya Maverick Vinales, Alex Rins atau Fabio Quartararo menang di Valencia.

Selepas Franco Morbidelli memintas Jack Miller untuk melangkah ke atas podium, ia secara tidak langsung menyaksikan Rins meratapi prestasinya menduduki tempat keempat sementara Vinales di belakang Mir untuk kedudukan ke-10 dan Quartararo tersingkir.

Pengurus pasukan Suzuki Davide Brivio menambahkan: "Apa yang dicapai Joan sangat luar biasa.

"Dia adalah seorang pelumba yang hebat dan telah menghadiahkan Suzuki gelaran dunia selepas 20 tahun, sesuatu yang kami semua sangat berterima kasih."




Dalam musim kedua kelas perdana, Mir muncul penunggang Sepanyol ketiga yang memenangi gelaran MotoGP selepas Jorge Lorenzo dan Marc Marquez.

Marquez terpaksa melepaskan kejuaraannya berikutan gagal tampil dalam kesemua perlumbaan musim ini akibat kecederaan tangan.