Joan Mir sudahpun meraikan kejayaannya selaku juara MotoGP musim ini dan pelumba Sepanyol itu kini akan berusaha untuk membantu Suzuki memenangi Triple Crown (juara keseluruhan) musim 2020.

Dengan ketiadaan juara dunia enam kali, Marc Marquez, saingan musim ini lebih terbuka dalam pemburuan gelaran.

Bagaimanapun, pelumba Suzuki itu mengesahkan kejuaraannya selepas menamatkan perlumbaan di Valencia minggu lalu di tempat ketujuh selepas menjuarai perlumbaan di Litar Ricardo Tormo.

Mir akan mencipta sejarah MotoGP dalam perlumbaan di Litar Antarabangsa Portimao Algarve hujung minggu ini -- sekiranya gagal menduduki podium utama, dia akan menjadi juara dunia pertama yang hanya menjuarai satu pusingan perlumbaan sepanjang kempen.

Disebalik kejayaannya, pelumba berusia 23 tahun itu kini mahu membantu Suzuki, yang kini mendahulu kategori pengeluar dan pasukan, untuk memenangi Triple Crown.

"Kami meraikannya dengan makan malam bersama keluarga saya hujung minggu lalu tetapi anda sedar tidak boleh banyak meraikannya kerana kami masih ada perlumbaan hujung minggu ini," kata Mir dalam sidang media.

"Kami menerima banyak temu bual, mesej, yang agak sukar tetapi menikmati momen ini. Saya gembira dan kami kini mempunyai misi untuk dilakukan di sini.

"Dalam mendapatkan Triple Crown, ia sudahpun menjadi musim yang amat baik jika kami tidak memperolehnya tetapi ia akan menjadi lebih baik jika kami mendapatkannya.

"Saya sedang fokus untuk mendapatkannya, juga amat bermotivasi dan kita akan lihat jika kami ada pakej untuk mendapatkan kemenangan di sini," katanya.

Rakan sepasukan Mir di Suzuki, Alex Rins, kini berada di tangga ketiga keseluruhan kategori pelumba dan hanya empat mata di belakang Franco Morbidelli.

"Kami masih belum ada sebarang perbincangan tetapi jika ditanya, saya tiada masalah untuk membantu Alex mendapatkan tempat kedua," kata Mir ketika ditanya sama ada pengurus Suzuki, Davide Bruno, ada memintanya untuk membantu Rins.

"Saya fikir jika mereka boleh meminta Alex membantu saya mendapatkan tempat pertama dan dia melakukannya, ia amat baik untuk saya juga memainkan peranan membantunya.

"Tetapi ia memerlukan situasi yang betul untuk membantunya. Jika tidak, ia tidak relevan," katanya.