Juara bertahan MotoGP, Marc Marquez, terpaksa diketepikan selama dua hingga tiga bulan, kata pasukannya, Repsol Honda, semalam.

Marquez patah tulang humerus (lengan) dalam perlumbaan pembukaan di Sepanyol bulan lalu dan terpaksa menjalani pembedahan kedua selepas plat besi di lengannya mengalami kerosakan menjelang perlumbaan kedua di Jerez.

Pelumba berusia 27 tahun itu tidak pernah beraksi sejak peristiwa itu dan berkemungkinan tidak dapat melakukannya sehingga penghujung musim 2020.

Satu kenyataan yang dikeluarkan Honda Racing Corporation (HRC) berkata: "Marc Marquez akan meneruskan proses pemulihannya bagi beberapa minggu ini

"Juara dunia MotoGP itu bersama HRC Honda sudah mendapatkan nasihat dan membandingkan saranan beberapa pakar berhubung kecederaan humerus di lengan kanan yang dialami Marc dalam Grand Prix Sepanyol pada 19 Julai lalu.

"Keputusannya, semua pihak bersetuju untuk mengubah perancangan proses pemulihannya.

"Objektifnya adalah untuk kedua -dua, Marquez dan pasukan Repsol Honda, akan kembali bergandingan dalam kejuaraan dunia selepas lengan Marc benar-benar pulih daripada kecederaaan serius yang dialaminya di Jerez itu.

"Ia dianggarkan akan mengambil masa di antara dua hingga tiga bulan sebelum Marc boleh menunggang kembali RC213V.

"HRC tidak meletakkan sebarang Grand Prix sasaran untuk dia kembali beraksi dan akan terus memberikan laporan mengenai perkembangan proses pemilihannya," katanya.

Pengurus Repsol Honda, Alberto Puig, pula berkata: "Sudah banyak perbicaraan mengenai tarikh Marc akan pulih tetapi sejak hari pertama, kami sudah menyatakan bahawa satu-satunya objektif kami adalah untuk dia kembali mencapai tahap 100 peratus.

"Kami tidak mahu terburu-buru. Setelah Marc berada dalam kedudukan untuk kembali dan bersaing di tahap yang sepatutnya, kami akan memikirkan objektif seterusnya."