MotoGP Malaysia: Pedrosa muncul terpantas

Oleh Penulis Jemputan 28 Oktober 2017 385
MotoGP Malaysia: Pedrosa muncul terpantas
Dani Pedrosa akan memulakan perlumbaan MotoGP Malaysia esok di petak pertama manakala pendahulu kategori pelumba, Marc Marquez, sekadar di tempat ketujuh selepas terbabit dalam kemalangan dalam sesi kelayakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini. 

Pedrosa, yang kali terakhir meraih petak utama di Barcelona pada Jun lalu, melakar 1 minit 59.212 saat manakala Johan Zarco di tempat kedua apabila ketinggalan 0.017 saat.

Kemalangan pada awal sesi merupakan cabaran terbesar buat Marquez selepas bergelut dengan litar basah, semalam. Juara bertahan itu menjadi tumpuan untuk meraih petak utama buat kali kelapan musim ini.

Pencabar utamanya, Andrea Dovizioso, akan memulakan perlumbaan di petak ketiga sementara dua pelumba Yamaha, Valentino Rossi dan Maverick Vinales, mengisi petak keempat dan kelima. 

Dalam saingan Moto2 pula, Franco Morbidelli menepati ramalan muncul pelumba terpantas aksi kelayakan dalam misinya untuk muncul juara keseluruhan musim ini. 

Dengan hanya berbaki dua lagi saingan, Morbidelli yang berada di persada carta penunggang mencatat masa terpantas, 2:06.406s, untuk memulakan perlumbaan esok di petak pertama. 

Morbodelli dihambat rapat sepanjang perlumbaan oleh juara di Phillip Island, Miguel Oliveira, yang menunggang jentera Red Bull KTM Ajo. 

Namun, Oliviera gagal mengatasi Morbidelli untuk akur di tempat kedua dan pelumba Perancis, Fabio Quartararo, di kedudukan ketiga. 

Pelumba sensasi Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin, mengakhiri aksi kelayakan di tempat ke-11 dan masih lagi dalam misi mencecah kelompok 10 terbaik keseluruhan selepas berjaya meraih podium sebanyak dua kali musim ini. 

Seorang lagi pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi, mengakhiri sesi kelayakan di kedudukan ke-23 selepas mencatat jurang masa 1.362 saat. 

Dalam saingan Moto3 pula, pelumba SIC Racing Team, Adam Norrodin, tetap optimis mampu mencapai keputusan lebih baik dalam perlumbaan sebenar selepas berada di kedudukan ke-15 dengan catatan 2:16.465s.

"Sudah tentu saya mengharapkan keputusan yang lebih baik tetapi kedudukan ke-15 bukanlah buruk. Saya pernah berada dalam posisi lebih buruk, namun menamatkan perlumbaan dengan baik. 

"Jentera dalam keadaan baik dan saya percaya mampu berada dalam kelompok hadapan esok. Saya menyasarkan kedudukan 10 terbaik dan melakar penamat terbaik musim ini," kata pelumba itu yang meraih kedudukan keenam dalam sesi ujian bebas ketiga, semalam. 

Pelumba wildcard negara, Kasma Daniel Kasmayudin (Petronas Sprinta), di kedudukan ke-29 sementara penunggang Leopard Racing, Joan Mir, dengan kepantasan 2:12.078s akan memulakan saingan di petak hadapan. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen