MotoGP Malaysia: Barisan pelumba negara gagal menyerlah

Oleh Penulis Jemputan 3 November 2018 1547
MotoGP Malaysia: Barisan pelumba negara gagal menyerlah
Petanda kurang positif ditampilkan barisan pelumba negara apabila masing-masing gagal mendapatkan kedudukan terbaik dalam sesi kelayakan hari ini  menjelang perlumbaan sebenar MotoGP Malaysia, esok.

Pelumba negara, Adam Norrodin, yang bersaing dalam kategori Moto3 bersama pasukan Petronas Sprinta Racing, mencuba untuk mendapatkan kedudukan terbaik dalam penampilan terakhirnya di Litar Sepang.

Namun, kecederaan patah bahu dan anterior cruciate ligament (ACL) di bahagian bahu dan kaki kanannya merencatkan usaha Adam dengan dia turut dihimpit beberapa pelumba menuju ke penghujung saingan kelayakan, sekali gus mendapat kedudukan ke-18.

"Dalam persaingan tadi, ada beberapa pelumba melakukan perkara yang tidak sepatutnya mereka lakukan.

"Saya agak kecewa dengan perkara itu," kata Adam.

Nasib sama menimpa pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi, yang bergelut untuk mendapatkan penyelarasan sesuai menjelang perlumbaan esok.

Ia membawa padah apabila dia hanya mendapat kedudukan ke-25 dalam sesi kelayakan dan situasi itu menyukarkannya yang setakat ini hanya mengutip satu mata daripada 17 perlumbaan.

"Dari semalam, saya bergelut dengan cengkaman dan belokan laju.

"Saya masih belum mendapatkan penyelarasan yang baik," kata Khairul Idham.

Harapan peminat sukan permotoran negara semakin pudar selepas Hafizh Syahrin Abdulllah yang beraksi dalam kategori perdana MotoGP bersama pasukan Yamaha Tech 3 gagal mengikut jejak rakan sepasukannya, Johan Zarco, yang berada dalam kelompok hadapan.

Biarpun permukaan litar basah, Hafizh gagal meraih kedudukan terbaik apabila sekadar tamat di kedudukan ke-23.

"Saya tidak mempunyai pengalaman untuk beraksi dalam keadaan basah dengan jentera MotoGP.

"Saya sudah melakukan yang terbaik. Mungkin ia bukan rezeki saya hari ini," kata Hafizh.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen