MotoGP: Lorenzo percaya masih laku 

Oleh Shaiful Shamsudin 30 Mac 2020 121
MotoGP: Lorenzo percaya masih laku 
Bekas bintang MotoGP, Jorge Lorenzo, percaya dia dihujani tawaran jika memutuskan untuk keluar daripada persaraan.

Penunggang dari Sepanyol berusia 32 tahun itu kini bertindak sebagai juru pandu uji untuk jentera Yamaha selepas bersara tahun lalu setelah memenangi tiga kejuaraan dunia MotoGP, yang kali terakhir dijulang adalah pada 2015.

Pelumba, Pol Espargaro, baru-baru ini mengkritik Lorenzo dengan mengatakan langkah persaraan itu bagi membolehkannya meninggalkan Honda untuk kembali ke pangkuan Yamaha.

Lorenzo, yang sedia berlumba dengan 'tiket peluang khas' dalam Grand Prix (GP) Catalan, menerima pendapat rakan senegaranya itu sambil berkata melahirkan keyakinan bahawa dia pasti akan mendapat beberapa tawaran lagi jika memutuskan untuk kembali berluma.

"Terdapat banyak pendapat dan anda harus menghormati apa yang mereka fikirkan. Dalam hal ini Pol mempunyai pandangannnya sendiri dengan mengatakannya dengan rasa hormat, sopan, dihormati," katanya kepada Catalunya Radio semalam.

"Sekiranya saya ingin kembali bersaing, saya tidak fikir saya akan bergelut untuk mendapatkan tawaran tetapi pada masa ini ia bukan satu masalah."



Lorenzo bergelut di penghujung kerjayanya apabila gagal meraih kemenangan pada 2017 dan 2019.

Dia tidak mempunyai rancangan untuk membuat kemunculan semula dengan mengatakan dia telah mencapai semua yang diidamkan dalam MotoGP.

"Saya selalu mengatakan bahawa keputusan itu adalah muktamad," kata Lorenzo.

"Anda tidak boleh berkata, 'saya tidak akan minum air pagi ini,' tetapi saya bersara dengan hasrat untuk pergi selama-lamanya. Saya sudah berumur 32 tahun, saya telah menunggang secara profesional selama 15 tahun.

"Dan saya bernasib baik telah berjaya dan memenangi banyak perlumbaan. Pelumba lain pula ada tidak begitu bernasib baik.

"Untuk meneruskannya adalah dengan mengulanginya kerana tiada apa lagi pencapaian yang tertinggi selain muncul juara dunia MotoGP dan saya melakukannya tiga kali."

Pembukaan musim MotoGP telah ditangguhkan akibat pandemik koronavirus baru (Covid-19). 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen