MotoGP: Kasma Daniel ucap selamat tinggal

Oleh Muzaffar Musa 24 Disember 2020 6486
MotoGP: Kasma Daniel ucap selamat tinggal
Hafizh Syahrin Abdullah akan menjadi pelumba tunggal negara dalam kejuaraan dunia MotoGP musim 2021 apabila Kasma Daniel Kasmayudin sah tidak akan bersama pasukan Stop and GO (SAG).

Ia sesuatu yang mengejutkan memandangkan pelumba kelahiran Johor itu masih mempunyai baki kontrak setahun bersama pasukan berkenaan.

Bagi menjelaskan mengenai perkara itu, pelumba berusia 20 tahun berkenaan berkata dalam satu temu bual Nadi Arena: "Sebenarnya saya sudah lama mendapat e-mel itu cuma saya tidak perasan mengenainya. Hanya beberapa hari lalu barulah bapa saya beritahu bahawa mereka (SAG) ada menghantar e-mel.

"Apabila saya membukanya, barulah saya sedar ia adalah surat penamatan khidmat daripada SAG. 

"Saya tidak sedih atau apa-apa kerana faham saya pelumba baru dan mereka sudah pasti mahukan keputusan yang lebih bagus.

"Jadi saya menerima seadanya dan redha dengan apa yang SAG buat," katanya.
 

Kasma Daniel, dalam pada itu, masih belum mahu mengaku kalah dalam meneruskan karier permotorannya.

Dia kini sedang berbincang dengan beberapa pasukan dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan Perlumbaan CEV Eropah.

"Sekarang ni saya dalam perbincangan dengan satu pasukan ARRC, pasukan lama saya, iaitu Yamaha Hong Leong, atau sekarang (dikenali sebagai) YMC atau Yamaha Motor Cooperation All Japan.

"Untuk CEV belum tahu lagi kerana masih berunding dengan beberapa pasukan. Sama ada kami bayar atau mereka akan taja, itu terpulang kepada pengurus saya dan pasukan di sana," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen