Saingan Grand Prix (GP) Sepanyol bagi kategori Moto2 mencuri tumpuan selepas pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah, memberi isyarat mengenai kemampuan sebenarnya apabila meraih tempat keenam dalam perlumbaan MotoGP di Litar Jerez, Sepanyol.

Bermula di petak ke-15 dalam perlumbaan kedua musim ini, ia bukan halangan buat 'Pescao' yang mewakili pasukan Aspar itu fokus dalam memberikan saingan dan ketika aksi berbaki lapan pusingan, dia tekal berada di kedudukan keenam sehinggalah tamat perlumbaan.

Dalam masa sama, hajat Kasma Daniel Kasmayudin untuk menamatkan saingan dalam kelompok 20 terbaik tidak kesampaian apabila berakhir di kedudukan ke-22.

Perebutan podium jelas milik pelumba dari Itali, Luca Marini -- adik tiri kepada Valentino Rossi -- yang mendominasi dari awal perlumbaan manakala tempat kedua milik Tetsuta Nagashima sementara Jorge Martin di tempat ketiga.

Dalam saingan kelas perdana, Fabio Quartararo, akhirnya menukar petak utama kepada kemenangan yang menyaksikan Marc Marquez ditimpa kemalangan selepas melakukan beberapa kesilapan.

The first 'new normal' #MotoGP podium ? #SpanishGP ?? #MV12 #FQ20 #AD04 #MotoGP #Motorsport #Podium #ThisIsMotoGP #MotoGPisBack

Posted by MotoGP on Sunday, July 19, 2020


Pelumba Perancis yang diangkatkan sebagai bintang dalam pembikinan pada 2019 itu gagal sebarang gelaran di sebalik enam kali meraih petak utama.

Usaha penunggang Petronas Yamaha itu pada awalnya hampir digugat apabila menyerahkan kedudukan utama kepada Maverick Vinales -- menamatkan perlumbaan sebagai naib juara -- untuk berada dalam kelompok kelima.

Saingan bertambah rancak ketika berbaki 23 pusingan lagi apabila Vinales dipintas Marquez dan beberapa pusingan selepas itu, pelumba tuan rumah berkenaan terbabas.

Andrea Dovizioso melakukan pecutan pada saat akhir untuk menafikan wakil Pramac Racing, Jack Miller, untuk menjejaki podium.

Dalam saingan Moto3 pula, Khairul Idham Pawi gagal memberi saingan terbaik untuk sekadar tamat di kedudukan ke-22 sementara rakan sepasukannya di Petronas Sprinta Racing, John McPhee, ditimpa malang apabila terjatuh di selekoh terakhir untuk terlepas podium.

Dia memimpin sepanjang saingan tatkala dua pelumba di kedudukan satu dua dalam sesi kelayakan, Tatsuki Suzuki dan Andrea Migno, semakin ketinggalan.

Ketika kedudukan podium seolah-olah berada dalam genggamannya, malang buat pelumba kelahiran Scotland itu apabila jentera Tony Arbolino menghimpitnya ketika
selekoh terakhir dan secara tidak langsung membuka ruang kepada Albert Arenas yang bijak mengintai peluang terbaik.

Albolino di tempat kedua disusuli Ai Ogura melengkapkan tempat podium.