MotoGP: Hafizh Syahrin masih bergelut dengan kecederaan

Oleh Muzaffar Musa 12 Oktober 2020 4946
MotoGP: Hafizh Syahrin masih bergelut dengan kecederaan
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa ketika pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, meraih tempat ke-15 dalam Grand Prix Perancis di Litar Le Mans semalam, dia masih belum pulih 100 peratus daripada kecederaannya dan tetap berasa kesakitan di kedua-dua kakinya.

Hafizh Syahrin mengalami kemalangan ngeri dalam perlumbaan GP Austria di Litar Red Bull Ring, Ogos lalu di mana jenteranya berkecai dalam insiden berkenaan.

Dalam perkongsiannya bersama Nadi Arena hari ini, El Pescao turut memaklumkan bahawa dia masih belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depannya dalam arena MotoGP kerana hanya mahu fokus kepada lima baki perlumbaan musim ini.

"Saya masih belum membuat sebarang perancangan mengenai masa depan saya.

"Sama ada saya akan berehat atau meneruskannya (musim depan), saya masih belum tahu.

"Perlumbaan berturut-turut ini memerlukan tenaga di badan, jadi saya menggunakan sedaya-upaya saya.

"Adakalanya, mungkin badan saya memerlukan sedikit masa untuk pulih tetapi nak buat macam mana, perlumbaan sentiasa ada.

"Apapun, saya mencuba yang terbaik dan harap-harap dalam lima baki perlumbaan ini kecederaan saya akan kembali pulih," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen