MotoGP: Hafizh Syahrin buru kebangkitan Moto2 di Litar Jerez 

Oleh Bernama 9 Julai 2020 352
 MotoGP: Hafizh Syahrin buru kebangkitan Moto2 di Litar Jerez 
Pelumba Moto2 Malaysia dari pasukan Aspar, Hafizh Syahrin Abdullah, berharap untuk bangkit dan menebus kekecewaannya apabila menyasarkan mencatatkan keputusan cemerlang dalam Grand Prix (GP) Sepanyol pada 17-19 Julai depan.

Hafizh Syahrin yang kembali ke kancah Moto2 musim ini selepas melalui dua tahun yang mengecewakan dalam MotoGP, mengintai untuk menduduki lima terbaik dalam perlumbaan di Sirkit Jerez itu.

Bekas pelumba Monster Yamaha Tech 3 dan Red Bull KTM Tech 3 berusia 26 tahun itu berkata bahawa dia telah belajar banyak daripada perlumbaan terakhir di Qatar yang menyaksikannya meraih tempat ke-19.

“Kalau boleh memang nak dapatkan kedudukan lima terbaik atau sekurang-kurangnya meraih mata. Ia lebih baik daripada tanpa sebarang mata sebab saya gagal kutip mata dalam perlumbaan pertama.

“Banyak perkara saya telah belajar daripada perlumbaan di Qatar itu dan saya akan cuba ingat mana yang boleh selain memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya kepada media hari ini.



Posted by Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao on Wednesday, July 8, 2020


Hafizh berlepas ke Sepanyol awal pagi tadi selepas mendapat pelepasan khas dan kebenaran memasuki negara itu berikutan penetapan Kesatuan Eropah (EU) yang hanya membenarkan rakyat daripada 15 negara untuk memasuki kesatuan tersebut manakala Malaysia tidak tersenarai.

Hafizh teruja untuk ujian tidak rasmi di ltar Jerez pada 15 Julai depan sebagai proses menyesuaikan diri dengan motosikalnya selepas tidak beraksi selama empat bulan.

“Saya lebih bersedia dan tidak boleh tunggu lama untuk lompat ke atas jentera. Saya akan cuba buat yang terbaik demi rakyat Malaysia. Saya harapkan sesi percubaan itu memberi saya peluang untuk menyesuaikan dengan jentera Moto2 secepat mungkin,” katanya.

Kejohanan MotoGP musim 2020 telah tertangguh sejak Mac, iaiti lalu selepas perlumbaan di Qatar akibat penularan COVID-19.

-- BERNAMA

 

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen