Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin, kerap kali berputih mata setiap kali perlumbaan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Sehubungan itu, dalam penampilan terakhirnya pada musim ini, dia berhasrat untuk cuba mendapatkan kedudukan podium menjelang perlumbaan pada Ahad ini.

Nasib Adam di laman sendiri acap kali tidak berakhir dengan baik.

Musim pertama aksinya di Sepang menyaksikan Adam gagal menamatkan perlumbaan sementara tahun lalu, Adam dalam kedudukan terbaik untuk menaiki podium, namun terbabas sebelum menamatkan kedudukan di tangga ke-11.

Penunggang Petronas Sprinta Racing itu mencatat masa 2 minit 25.794 saat pada sesi sebelah pagi tadi sebelum melakar 2:15.741s.

Menjadikan dua insiden tesebut sebagai pengajaran, Adam menonton kembali ulang tayang kesilapan yang pernah dilakukan untuk cuba mendapatkan kedudukan terbaik seperti mana dilakarnya ketika beraksi dalam GP Australia minggu lalu.

"Perlumbaan terakhir saya (di sini) menyaksikan saya terjatuh ketika berada di tempat keempat perlumbaan sebelum bangkit untuk menamatkan saingan di tempat ke-11.

"Ini adalah tahun terakhir saya beraksi di Sepang dan saya bertekad untuk memberikan tunggangan terbaik untuk meraih podium ekoran beraksi mantap dalam edisi lalu selain motivasi kehadiran penyokong tempatan," kata Adam.

Selepas tamat perlumbaan di Sepang dan seterusnya di Valencia hujung bulan ini, Adam berhasrat untuk kembali menjalani pembedahan di bahagian bahu kanan serta kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) kaki kanan setelah tertangguh sejak awal tahun lagi.

2018 juga bakal menjadi penampilan terakhirnya dalam kancah Moto3 dan selepas ini dia akan berkelana ke Sepanyol untuk beraksi dalam saingan Kejohanan Moto2 CEV Eropah.

"Pada mulanya, saya berasa sedikit sedih kerana terpaksa meninggalkan saingan MotoGP, namun saya berasakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali, mempunyai alasan yang tersendiri.

"Apabila difikirkan semula, ia satu langkah yang positif kerana saya berpeluang menunggang jentera 600cc.

"Saya boleh menimba banyak lagi ilmu dan saya tidak rela hanya kekal dalam saingan Moto3," katanya lagi.