Khairul Idham Pawi tidak akan diturunkan hujung minggu ini untuk Grand Prix Styria sebaliknya dia akan kembali ke Sepanyol untuk direhatkan, dengan harapan pulih daripada kecederaan jari.

Sejak mengalami kecederaan itu, Khairul Idham gagal menyerlah -- dan menurut perkongsian legenda dunia permotoran, Mick Doohan, bersama wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, perubahan kelas yang kerap dalam tempoh empat tahun mungkin memberi kesan.

Sejak kali terakhir menaiki podium di pentas Moto3 pada 2016, Khairul Idham yang mesra disapa "Superkip" tenggelam ketika beralih ke kelas Moto2 untuk dua musim berikutnya.

Nasib sama terus menyelubungi pelumba kelahiran Perak itu apabila kembali ke Moto3 musim ini kerana masih belum mengutip sebarang mata.

Lebih perit, KIP sah tidak akan beraksi hujung minggu ini di GP Styria apabila perlu menjalani pembedahan untuk jarinya yang retak.

'Dia tidak mengharungi musim yang baik. Ia merupakan satu cabaran buat dirinya kerana tekanan yang tinggi bersaing dalam Moto3 dan membuktikan kemampuannya semula," kata Doohan.

"Saya berasakan selepas dia berjaya menangani masalah yang dihadapi dan membentuk keyakinan adalah perkara yang diperlukan untuk kembali mempamerkan tunggangan yang cemerlang."

Masa depan Superkip untuk terus dapat tempat dalam pasukan Petronas Sprinta Racing Team juga dikatakan semakin malap andai belum menampilkan prestasi memberangsangkan.

Sebagai juara dunia, Doohan berkongsi pengalaman sebagai pelumba untuk mengatasi permasalahan itu.

"Secara kebiasaannya, turun ke kelas bawahan adalah perkara yang baik, jentera yang lebih perlahan tetapi kemahiran teknikal sangat tinggi dalam saingan Moto3."

Perlumbaan hujung minggu ini di Austria berkemungkinan menyaksikan Kasma Daniel Kasmayuddin dari pasukan Onexox TKKR SAG Team menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang beraksi apabila seorang lagi pelumba, Hafizh Syahrin belum disahkan pulih sepenuhnya daripada kemalangan ngeri Ahad lalu.