Moto3: Mcphee bersendirian di GP Styria

Oleh Ammar Hakim 19 Ogos 2020 942
Moto3: Mcphee bersendirian di GP Styria
Petronas Sprinta Racing Team (SRT) mempertaruhkan harapan ke atas John McPhee bagi memburu kemenangan podium pada perlumbaan Grand Prix (GP) Styria di Litar Red Bull Ring, Austria minggu ini.

Ini susulan ketiadaan rakan sepasukan yang juga pelumba negara, Khairul Idham Pawi (KIP), yang akan ke Barcelona, Sepanyol bagi menjalani rawatan akibat kecederaan jari yang dihadapinya ketika perlumbaan GP Austria, minggu lepas.  

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali, berkata pihaknya membuat keputusan untuk merehatkan pelumba negara pada perlumbaan akan datang bagi memberi peluang kepada beliau pulih sepenuhnya.

“Ini membolehkannya pulih dan berehat selama tiga minggu, supaya beliau kembali lebih baik pada perlumbaan di Misano.

“Ia keputusan yang sukar bagi pihak pengurusan dan juga KIP, tapi ia demi keselamatan dan kesihatan serta kebaikan pasukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, pelumba Britain berusia 26 tahun berkenaan tidak tertekan dan berazam untuk meraih kemenangan podium seterusnya musim ini.

McPhee kini menduduki tangga kedua keseluruhan dalam kejuaran dunia kelas Moto3 dengan mengumpul 67 mata, manakala KIP masih belum mengutip sebarang mata selepas lima perlumbaan.

“Saya rasa tidak banyak perubahan dilakukan untuk perlumbaan hujung minggu ini, mungkin beberapa komponen sahaja. Kejayaan podium tempoh hari sangat menyeronokkan dan sudah semestinya saya mahu mengulanginya lagi.

"Saya rasa kami mempunyai sedikit kelemahan di jalan lurus. Saya rasa caramenghadapi sesi latihan, perlumbaan dan persiapan jentera berjalan dengan baik, saya yakin akan ada satu lagi hasil yang baik,” katanya.

GP Styria berlangsung pada 21-23 Ogos.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen