Pelumba Malaysia, Khairul Idham Pawi, yang kembali beraksi buat kali pertama sejak Ogos lalu, menduduki tempat keempat dalam ujian pramusim Kejohanan Dunia Moto3 2020 di Litar Jerez-Angel Nieto, Sepanyol, semalam.

Penunggang berusia 21 tahun berkenaan, yang kembali beraksi dalam kelas Moto3 bersama pasukan Petronas Sprinta Racing Team (SRT), menamatkan 58 pusingan dengan catatan masa terbaik, 1 minit 58.333 saat, walaupun terjatuh dan mengalami kecederaan kecil tetapi masih mampu meneruskan aksi.

"Ini adalah aksi pertama saya dalam Moto3 sejak sekian lama selepas berehat panjang akibat mengalami kecederaan. Saya rasa bersemangat dapat beraksi semula dengan pasukan ini dan kembali memberi saingan.

"Jari saya masih rasa kurang selesa tetapi saya tidak mempunyai sebarang masalah dengannya ketika menunggang. Keadaan jalan sangat licin dan cuaca berangin menjadikannya sukar, semoga keadaan menjadi lebih baik esok," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penunggang kelahiran Perak itu yang dikenali sebagai Super KIP berkata dia masih lagi memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan gaya menunggang daripada Moto2 kepada Moto3 yang menggunakan jentera lebih ringan dan kurang kuasa.

"Saya memperbaiki catatan masa saya dalam setiap pusingan ketika setiap kali saya tinggalkan pit selain masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Moto3 ini berbeza dengan Moto2 dan mengambil sedikit masa untuk saya menyesuaikan gaya menunggang motosikal yang lebih ringan dan kurang kuasa.

"Sangat bagus kerana dapat bekerjasama dengan John (pelumba Scotland, John McPhee). Dia membantu saya dan hasil kemampuan mengekorinya dapat meningkatkan kelajuan saya," katanya.

Sementara itu, McPhee yang merupakan rakan sepasukannya, mengakhiri sesi pramusim itu di tempat ketiga selepas menamatkan 60 pusingan dalam cuaca hujan dengan catatan masa 1:56.688s, ketinggalan 0.454s daripada penunggang terpantas.

Walaupun hujan lebat sepanjang hari, McPhee telah menggunakan masa yang ada untuk melakukan kerja-kerja menyempurnakan tetapan elektronik bersama kakitangannya.

"Kami menggunakan sebahagian besar masa ketika trek basah untuk mencuba dan memperbaiki alat elektronik motosikal dan saya fikir kami mengambil banyak masa untuk itu hari ini,” katanya.

Pelumba Itali, Andrea Migno daripada SKY Racing Team VR46, mencatatkan pusingan terpantas 1:56.234s, diikuti oleh Tony Arbolino daripada VNE Snipers di tempat kedua dengan ketinggalan 0.261s.

-- BERNAMA