Moto2: Mula di petak keempat, Hafizh berakhir di tempat kesembilan

Oleh Ammar Hakim 9 Ogos 2020 2059
Moto2: Mula di petak keempat, Hafizh berakhir di tempat kesembilan
Impian untuk menyaksikan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah untuk menaiki ke podium Moto2 berkecai selepas dia hanya menamatkan saingan ke kedudukan kesembilan dalam saingan Grand Prix Republik Czech di Brno, sebentar tadi.

Kegagalan bermula baik menyaksikan Hafizh yang bermula di petak keempat dipintas empat pelumba menuju ke selekoh pertama.

Posisi kelapan tidak mampu dikekalkan apabila dua lagi pelumba memintasnya sekaligus dia terperangkap di kedudukan ke-10.

Ketika rakan senegara, Kasma Daniel Kasmayudin terjatuh di selekoh ke-10 pada pusingan ke 4, Hafizh masih lagi bergelut di posisi sama.

Pendahulu saingan, Enia Bastianini terlalu pantas di depan sejak permulaan dan pada satu ketika dia berada 1 saat di depan pencabar, Sam Lowes.

Memasuki pusingan ke-10, Hafizh terus lemas -- terperangkap di pertengahan pada ketika kelompok hadapan semakin jauh di depan.  

Pergelutannya dengan masalah motosikal memaksa Hafizh hanya bertahan di posisi kesembilan sehingga tamat saingan.

Podium kejuaraan menjadi milik Enia Bastianini dari Itali diikuti Sam Lowes di tempat kedua.

Dalam saingan Moto3 pula, selepas gagal melengkapkan dua perlumbaan terdahulu di Jerez, Dennis Foggia daripada pasukan Leopard Racing melakar sejarah merangkul kejuaraan pertama dalam kariernya.

Pada pusingan ke-10,  juara di Jerez, Tatsuki Suzuki yang berada di kelompok hadapan terjatuh daripada jenteranya sebelum malang juga ditimpa Jaume Masia, yang berada di kedudukan kedua berbaki dua lagi pusingan.

Ketika saingan berada di pusingan terakhir, pelumba Jepun, Ai Ogura teruskan memberikan tekanan kepada Foggia selain Albert Arenas juga sedang mengintai peluang terbaik bagi menamatkan saingan di kedudukan terbaik.

Ketiga-tiga pelumba saling pintas-meimintas sehingga di selekoh teerakhir, Foggia tidak dapat dikejar lagi untuk terus memimpin sehingga garisan penamat sementara pendahulu kejuaraan, Albert Arenas di tempat kedua yang mengetepikan kecederaan yang dialami selepas kemalangan ngeri di Litar Jerez dua minggu lalu dan Ogura melengkapkan tempat podium.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen