Prinsipal Pasukan Onexox TKKR SAG Racing, Bobbie Farid Shamsuddin, tidak rela pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayuddin, terlalu berhati-hati dalam menggunakan jenteranya biarpun tidak mempunyai motosikal simpanan menjelang perlumbaan di Litar Brno, Republik Czech, hujung minggu ini.

Membawa reputasi sebagai pelumba termuda pernah memenangi kategori Perdana dalam Kejohanan Cub Prix, tetapi Kasma Daniel masih belum mengutip sebarang mata selepas tiga pusingan Moto2 musim 2020.

Bagaimanapun, tiada tekanan dipikulnya memandangkan pasukan itu tidak meletakkan harapan tinggi dalam penampilan sulungnya di pentas kejuaraan dunia, di tambah pula ini adalah sebahagian daripada projek tiga tahun yang digarap Onexox TKKR SAG bagi perkembangan kariernya.

"Kami tidak akan berpesan kepada Kasma Daniel, 'kita hanya ada satu motosikal ini sahaja, kau jangan jatuh atau kita tidak ada jentera lain lagi untuk berlumba.

"Apa sekalipun, kami perlu usahakan cari motosikal (kalau ditimpa masalah).

"Ada banyak pilihan lain lagi sebab kerangka model seperti ini masih boleh dicari lagi, mungkin boleh dibeli dengan pasukan lain selain boleh didapati dengan lebih murah," kata Bobbie Farid.

Sementara itu, bekas pelumba Moto2 negara, Ramdan Rosli, menganggap adalah normal bagi pelumba baru untuk melalui tempoh keserasian dengan mesin yang digunakan.

"Bukan mudah untuk menyesuaikan diri dalam kancah Moto2 dan mengawal motosikal kerana kerangka yang digunakan memang berbeza.

"Penunggang memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dalam kategori itu.

"Walaupun dihimpit masalah kewangan yang dihadapi pasukan, saya percaya penunggang profesional akan tolak tepi isu itu dan hanya fokus kepada reputasi yang lebih bagus," katanya.