Moto2: Hafizh Syahrin cari pelarasan terbaik minggu ini

Oleh Shaiful Shamsudin 20 Julai 2020 1162
 Moto2: Hafizh Syahrin cari pelarasan terbaik minggu ini
Di sebalik segala kekangan akibat wabak COVID-19 termasuk sekatan perjalanan ke Sepanyol berikutan ketetapan baru Kesatuan Eropah (EU) pada saat-saat akhir, ia sama sekali tidak mematahkan semangat Hafizh Syahrin Abdullah untuk mencipta sensasi dalam Kejohanan Grand Prix (GP) Sepanyol di Litar Jerez, semalam. 

Pelumba Aspar dalam kancah Moto2 itu meraih perhatian ramai apabila menamatkan perlumbaan berkenaan di kedudukan keenam di sebalik bermula di petak ke-15. 

"Saya tidak jangka dapat kedudukan ini.

"Pesaing yang saya hadapi merupakan penunggang yang hebat dan berpengalaman,  saya menyasarkan kelompok 10 terbaik sebab yakin dengan kepantasan motosikal ketika itu. 

"Pada awal perlumbaan itu, saya mengalami kesukaran untuk mengawal jentera dan selepas beberapa pusingan, saya mula memotong satu persatu pelumba yang lain.

"Apabila berada di kedudukan kelapan, saya berkata kepada diri sendiri bahawa mampu 'pergi' lagi, jadi saya cuba kejar dan lebih laju dalam setiap pusingan. 

"Di kedudukan keenam, saya cuba mengejar rakan sepasukan (Aron Canet Barbero) tetapi jurang kami sudah jauh, pada masa itu saya percaya boleh merebut tempat kelima," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Nadi Arena, hari ini. 

 

The first weekend back is complete and we can't thank you enough for tuning in! ❤️ Enjoy these shots from race day! 📸 #SpanishGP 🇪🇸

Posted by MotoGP on Sunday, July 19, 2020


Litar Jerez sekali lagi akan menguji kemampuan pelumba negara, hujung minggu ini lantas 'Percao' berharap beberapa aspek teknikal boleh diatasinya dalam misi melakar pencapaian yang lebih baik musim ini. 

"Saya akan cuba perbaiki kelemahan kali ini sempena perlumbaan akan datang memandangkan dalam sesi kelayakan kedua, saya mengalami masalah tayar belakang, sebab itu saya sukar mendapatkan permulaan yang baik. 

"Walaupun langsung tidak menyentuh motosikal, saya masih membuat persiapan di Malaysia, sesi latihan yang sangat membantu," katanya. 

Menurutnya lagi mengenai peluangnya dalam perlumbaan seterusnya: "Saya kalau boleh hendak naik ke podium. 

"Kadang-kadang kita pun tidak boleh meramalkannya, ia bergantung kepada cuaca. 

"Ia boleh menjadi sangat panas dan semalam ramai pelumba yang terlalu mencuba melepasi had sehingga terjatuh, saya juga hampir-hampir jatuh. 

"Kena tengok keadaan pada Jumaat dan Sabtu ini. Kalau kami boleh harungi sesi kelayakan dengan baik, ia boleh membantu. 

"Semalam saya terpaksa mengejar kedudukan dari petak ke-15, jadi ada jurang catatan masa dengan kelompok depan."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen