Dengan butiran-butiran lengkap yang telah dikemukakan oleh Persatuan Automobil Malaysia (MAM), jelas ia dapat membantu pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuat pertimbangan dengan baik, sama ada mahu membenarkan perlumbaan sukan permotoran bersambung pada bulan hadapan.
Walaupun ia hanya satu permulaan bagi MAM, tetapi ia bakal menjadi penanda aras bagi kelangsungan segala penganjuran sukan permotoran di Malaysia.
Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir, berkata, "Seperti yang telah kami katakan, kami telah mengeluarkan SOP bagi pengajuran saingan sukan permotoran, kami dapat mengawal situasi di venue saingan."
Dua minggu lalu, MAM telahpun menghantar cadangan bertulis mengenai prosedur operasi standard (SOP) bakal ditetapkan kepada MKN.
Namun disebabkan masih tiada maklum balas yang jelas, MAM bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) memilih untuk mengambil langkah proaktif dengan merakam video garis panduan yang ditetapkan sebagai bahan sokongan untuk MKN membuat pertimbangan semula.
"Perkara paling penting adalah memulakannya, bermula dengan sesi latihan sebelum kami melangkah ke fasa perlumbaan," kata Mokhzani lagi.
Sementara itu, beberapa pelumba motor negara bertungkus lumus mempersiapkan diri untuk perlumbaan yang bakal berlansung awal bulan depan di Portugal.
Bagaimanapun, MAM menggalakkan keputusan tersebut dan mencadangkan untuk menunggu keputusan kerajaan terlebih dahulu.
Ammar Hakim
Tue Jun 09 2020