Mitchell mahu bangkit di Jerman

Oleh Staff Writer 16 Ogos 2019 1780
Mitchell mahu bangkit di Jerman
Pelumba sensasi negara, Mitchell Cheah, dan wakil tunggal  Asia dalam saingan ADAC TCR Germany Touring Car Championship, bertekad untuk bangkit dalam pusingan seterusnya selepas kecewa dalam kedua-dua perlumbaan di Sirkit Zandoort, Belanda minggu lalu.

Pelumba berusia 21 tahun itu memulakan perlumbaan dengan baik, namun nasib tidak menyebelahinya atas faktor cuaca dan kerosakan teknikal hingga memaksa dia menamatkan saingan lebih awal.

"Keadaan cuaca yang tidak menentu menjadikan ia amat sukar buat saya semasa sesi kelayakan Sabtu lalu. Namun, saya berjaya memasuki pusingan kedua ujian kelayakan.

"Pada awalnya, matlamat kami adalah untuk berada dalam kelompok 10 terbaik, namun ia tidak membuahkan hasil kerana catatan masa yang kurang memuaskan dan saya terpaksa berpuas hati di tempat ke-12," ujarnya.

Mitchell menambah: "Semasa perlumbaaan pertama, saya mahu lakukan yang terbaik dan pasukan juga yakin saya mampu melakukannya memandangkan kereta saya dalam keaaan yang amat baik. Saya berjaya mengatasi empat pelumba di depan saya tetapi saya telah dilanggar pada bahagian belakang dan ia memaksa saya untuk menamatkan perlumbaan.

"Dalam perlumbaan kedua pula, saya berjaya memperbaiki pemanduan dan berada di kedudukan kelapan tetapi pada lima pusingan terakhir, asap mula keluar dari kereta dan saya tiada pilihan lain selain menamatkan perlumbaan tersebut."

Bagaimanapun, Mitchell berazam untuk melupakan episod malang yang menimpanya minggu lalu dan mahu memperbaiki kedudukannya dalam pusingan berikutnya.

Pemandu daripada Program Pembangunan Bakat Litar Antarabangsa Sepang itu berkata, "Ini merupa-kan kali pertama untuk saya berlumba di litar tersebut dan saya hanya melalui dua sesi latihan.

"Jadi, ia amat sukar bagi saya untuk menyesuaikan diri. Tetapi saya berazam untuk bekerja keras bagi memperbaiki kedudukan saya dalam pusingan yang akan datang."

Sementara itu, bekas pelumba Formula Satu (F1) negara, Alex Yoong, yang menjadi mentor kepada Mitchell, yakin bahawa pemandu muda itu mampu bangkit daripada kekecewaan di Belanda minggu lalu.

“Secara jujur, Mitchell berjaya mencuri tumpuan serta memandu dengan baik memandangkan ini merupakan kali pertama beliau berlumba di litar tersebut.

"Cuma nasib tidak menyebelahinya kerana terlibat dengan pelanggaran dalam perlumbaan pertama dan terpaksa menamatkan saingan dalam perlumbaan kedua atas masalah terknikal.

"Kami masih mempunyai masa dan saya yakin Mitchell mampu memperbaiki kedudukannya dalam pusingan akan datang,” ujar Alex.

Saingan ADAC TCR Germany Touring Car Championship yang kini telah memasuki musim keempat akan diteruskan di Nurburgring, Jerman bermula hari ini hingga Ahad untuk perlumbaan pusingan kesembilan dan ke-10.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen