Mitchell jadi sandaran perlumbaan terakhir Jelajah Dunia 

Oleh Shaiful Shamsudin 11 November 2020 80
 Mitchell jadi sandaran perlumbaan terakhir Jelajah Dunia 
Pelumba Malaysia, Mitchell Cheah, akan kembali beraksi dalam Kejohanan Perlumbaan Jelajah Dunia (WTCR) anjuran Persatuan Automobil Antarabangsa (FIA), hujung minggu ini, selepas khidmatnya terus ditagih Hyundai Team Engstler bagi perlumbaan terakhir musim ini di MotorLand Aragon, Sepanyol. 

Atlet Kuala Lumpur berusia 22 tahun itu pulang ke Malaysia baru-baru ini selepas mengecapi kemenangan dalam pusingan pertama Jelajah Jerman ADAC TCR, bulan lalu.





"Saya sedang menjalani kuarantin selama dua minggu ketika Kurt Treml daripada Hyundai Team Engstler menghubungi saya untuk memaklumkan bahawa saya akan bersaing dalam WTCR.

"Saya sangat gembira dan lega mendapat berita ini dan saya berterima kasih kepada mereka atas peluang yang diberikan, bukan hanya di Jerman bahkan dalam WTCR. Saya gembira diberi peluang ini dan berharap dapat menimba banyak ilmu," kata Cheah.

Ia merupakan penampilan keduanya dalam WTCR selepas kemunculan pertama di Malaysia tahun lalu bersama-sama pelumba Moto2 dan rakan senegara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Cheah tiga kali memasuki kelompok 20 pelumba terbaik WTCR Race of Malaysia yang menyaksikannya merakamn keputusan terbaik untuk bermula di petak ke-16 dalam Perlumbaan 2 dalam kalangan 30 kereta.

"Bagi saya, peluang bersaing dengan pemandu-pemandu handalan adalah satu penghormatan dan menjadi sebahagian daripada WTCR amat menyeronokkan.

"Mereka merupakan pemandu bertaraf dunia dan mereka layak berada berada di tempat mereka sekarang. 

"Saya berharap pada satu hari kelak saya mampu mencapai tahap seperti mereka atau mungkin lebih baik lagi pada masa akan datang.

"Saya akan ke trek yang sama di mana semua orang berlumba di sana dua minggu lalu. Mudah-mudahan kali ini saya dapat memungut mata atau berada dalam kelompok pertengahan untuk semua perlumbaan kelak," tambahnya.

Saksikan WTCR Race of Aragon Secara Langsung di Astro Supersport (CH811/CH831) pada 15 November dari jam 4:00 petang (tertakluk kepada perubahan)
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen