Misi sukar Zaqhwan pertahan kejuaraan

Oleh Penulis Jemputan 29 November 2017 145
Misi sukar Zaqhwan pertahan kejuaraan
Pelumba SuperSports 600cc negara, Mohd Zaqhwan Zaidi, mengakui berasa sedikit tertekan menghadapi pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) dalam misi mempertahankan gelaran juara keseluruhan dalam perlumbaan kemuncak di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand bermula esok hingga Ahad ini.

Bebanan lebih terasa memandangkan tahun ini juara keseluruhan 2014 dan 2016 itu beraksi tanpa gandingan pelumba berpengalaman, sebaliknya bertindak selaku pelumba utama pasukan bergandingan dengan pelumba kurang berpengalaman, Teppei Nagoe, dalam pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing.

“Saya terpaksa bekerja lebih keras tahun ini. Rakan sepasukan, Teppei, merupakan pelumba muda berbakat, namun ini merupakan tahun pertamanya dalam kelas 600cc dan memerlukan sedikit masa untuk bersaing dalam kelompok depan.

"Ini menyebabkan saya bersendirian tanpa rakan sepasukan ketika bersaing dalam kelompok depan bersama pelumba berpengalaman yang lain,” jelas Zaqhwan.

Tambah juara bertahan itu, dia tidak menyangka untuk menjadi pendahulu setelah kehilangan banyak mata ketika terjatuh dalam Perlumbaan 2 di Pasir Gudang manakala meraih keputusan tidak begitu baik pada pusingan berikutnya di Thailand.

Sebaliknya, rakan senegara, Azlan Shah Kamaruzaman, lebih menonjol pada permulaan musim sebelum juara tahun 2013 itu terbabit kemalangan dan mengalami kecederaan hingga menyebabkannya gagal untuk mengekalkan momentum terbaik dalam beberapa pusingan lepas.

Keputusan konsisten meraih dua gelaran juara dan lima penamat di podium sepanjang lima pusingan lalu membantu Zaqhwan untuk mendahului kedudukan keseluruhan dengan 138 mata, namun dicabar rapat Yuki Ito dan Taiga Hada yang mengekori rapat dengan 134 mata.

“Berdasarkan keputusan lalu, jentera Kawasaki dan Yamaha lebih laju ketika di laluan lurus dan memberi mereka banyak kelebihan di Buriram.

"Saya dan pasukan perlu mendapatkan pelarasan terbaik dan merencana strategi serta pemilihan tayar tepat yang akan memain peranan besar dalam perlumbaan minggu ini,” jelas Zaqhwan.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen