McLaren dan Pirelli memutuskan untuk membatalkan sesi ujian tayar di Interlagos ekoran kebimbangan isu keselamatan berikutan insiden dalam Grand Prix (GP) Brazil, minggu lepas.

Bas pengangkutan Mercedes terbabit dengan rompakan bersenjata pada Jumaat lalu biarpun faktor keselamatan telah ditingkatkan, malah kenderaan Pirelli juga menjadi sasaran Ahad lalu.

Akibatnya, McLaren dan pengeluar tayar itu memilih untuk membatalkan rancangan mereka di Sao Paulo, minggu ini.

"Kami sepakat dengan Pirelli apabila memutuskan untuk membatalkan sesi ujian tayar minggu ini di Interlagos," kata satu kenyataan McLaren yang dimuat naik di Twitter.

"Keamanan kru sentiasa menjadi keutamaan kami dan memandangkan peristiwa yang berlaku baru-baru ini, kami berasakan dengan risiko yang ada, ia tidak perlu diteruskan."

Tambah Pirelli: "Berikutan percubaan rompakan yang dipatahkan oleh anggota keselamatan Pirelli di Litar Interlagos pada Ahad lalu itu -- selepas menyaksikan episod serupa hampir berulang ke atas pasukan lain, hujung minggu lalu -- kami memutuskan untuk membatalkan ujian tayar bersama McLaren pada hari ini dan esok yang sudah dirancang di litar Brazil.

"Keputusan ini turut dikongsi bersama McLaren, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Formula 1, apabila dibuat demi kepentingan keselamatan anggota, baik oleh pihak McLaren dan kami sendiri yang merancang untuk mengambil bahagian dalam ujian ini."