Masa depan pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, tidak akan terkubur dalam Kejohanan Dunia apabila terdapat beberapa pasukan sedang memancing khidmatnya bagi saingan musim depan.

Ia susulan pengumuman pasukannya, Red Bull KTM Tech 3, bahawa Brad Binder, yang kini beraksi dalam saingan Moto2, akan menggantikan pelumba negara itu dalam saingan kelas perdana musim depan.

Setakat ini, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pelumba berusia 25 tahun itu, namun bapanya, Abdullah Harun, mendedahkan terdapat pasukan lain yang berminat untuk menyunting khidmat Hafizh, iaitu One XOX dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

"Untuk masa depannya, buat masa ini, ramai yang telah menghubungi Hafizh.

"Cuma, dia masih berahsia lagi mengenai pasukan mana yang sedang berusaha untuk memikatnya.

"Daripada gerak hatinya, saya sebagai ayahnya berasakan dia masih kuat untuk menangani situasi ini," katanya.

Abdullah turut menjelaskan anaknya sudah menyedari perkara itu lebih awal, namun dia percaya Hafizh tidak akan berputus semangat dalam meneruskan kariernya.

"Hafizh mungkin sudah tahu lebih awal.

"Saya tahu semangat dia kuat dan tidak akan mudah mengalah walaupun apa yang terjadi," tambahnya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, optimis Hafizh mampu mengekalkan tempatnya dalam Kejohanan Dunia meskipun diturunkan ke kategori Moto2.