Juara MotoGP, Marc Marquez, selesai menjalani pembedahan di bahunya semalam, demikian Repsol Honda mengesahkannya.

Pelumba berusia 26 tahun itu terjatuh pada hari pertama sesi ujian di Jerez awal minggu ini sehingga terseliuh di bahagian tulang selangka kanannya.

Ujian perubatan mendedahkan bahawa juara dunia enam kali berturut-turut itu telah memburukkan lagi masalah yang telah ditanggungnya sejak dalam Grand Prix (GP) Malaysia bulan ini lagi.

Namun, kenyataan pasukannya itu menawarkan satu laporan yang positif susulan turut menjalani prosedur serupa di bahunya yang sebelah lagi tahun lalu.

"Selepas mengalami ketidakselesaan di bahu kanannya ekoran kemalangan dalam sesi ujian di Jerez pada Isnin lalu, penunggang Team Repsol Honda berkenaan memilih untuk menjalani pembedahan sebagai langkah pencegahan selepas melakukan rundingan perubatan," menurut kenyataan itu dengan tajuk utama mengesahkan pembedahan tersebut telah berjaya diselesaikan.

"Pembedahan ini sama dengan yang pernah dilakukan di bahu kirinya pada penghujung 2018 tetapi kurang agresif.

"Marquez akan dibenarkan pulang dalam tempoh 48 jam yang akan datang. Dia akan memulakan sesi pemulihan dan menjalani latihan musim sejuk di tempat sendiri, Cervera, sebagai persiapan menghadapi sesi ujian di Sepang."