Pelumba Honda, Marc Marquez, meraih Kejuaraan Dunia MotoGP buat kali ketiga berturut-turut selepas pencabar terdekat dari pasukan Ducati, Andrea Dovizioso, terlibat dalam kemalangan menerusi aksi dramatik Grand Prix (GP) Jepun, sebentar tadi.

Dovizioso terpaksa melupakan kejuaraan musim ini sebaik dia hilang kawalan di penghujung perlumbaan untuk membiarkan Marquez meraih kejuaraan kelima kategori perdana di Litar Motegi.

Memulakan perlumbaan di petak utama, Dovizioso menguasai hampir keseluruhan perlumbaan sebelum dia kehilangan rentak dalam baki tiga pusingan terakhir dan dipintas Marquez.

Cuba mengejar, dia yang hanya ketinggalan beberapa saat di belakang bagaimanapun hilang kawalan di selekoh 10 yang menyaksikan dia akhirnya terpaksa menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-18.

Ini menyaksikan Marquez dinobat juara berbaki tiga perlumbaan memandangkan pencabar terdekat, Dovizioso, yang ketinggalan 102 mata tidak mampu mengejar mata tersebut.

Tempat kedua GP Jepun dimenangi seorang lagi pelumba Honda, Cal Crutchlow, manakala Alex Rins dari pasukan Suzuki ketiga.

Pelumba negara, Hafizh Syarin, menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10, sekali gus meneruskan perebutan anugerah Pelumba Baru Terbaik Tahunan bersama seorang lagi muka baru, Franco Morbidelli daripada pasukan Marc VDS.