Marc Marquez muncul juara dunia MotoGP buat kali keempat dalam tempoh lima tahun selepas seterunya, Andrea Dovizioso, terjatuh ketika perlumbaan di Valencia, semalam.

Juara dunia 2013, 2014 dan 2016, Marquez, hadir sebagai penunggang pilihan untuk melakar kejuaraan keempat selepas mengungguli saingan dengan kelebihan 21 mata ke atas pencabar terdekat, Dovizioso.

Dovizioso memerlukan kemenangan dan Marquez perlu menghabiskan perlumbaan di luar kelompok 11 terbaik di Litar Ricardo Tormo tetapi gagal mengawal jenteranya ketika perlumbaan berbaki lima pusingan.

Tugas penunggang kelahiran Itali itu semakin sukar apabila tidak menerima sokongan daripada rakan sepasukannya, Jorge Lorenzo, yang tidak membenarkan Dovizioso untuk memintasnya dalam perlumbaan ini.

Marquez, yang berjaya menyelamatkan dirinya daripada terjatuh, mengakhiri saingan di tempat ketiga untuk muncul juara dengan kelebihan 37 mata.

Rakan sepasukannya, Dani Pedrosa, berjaya memintas Johann Zarco dalam pusingan terakhir bagi meraih kemenangan keduanya musim ini.