Pelumba Sepanyol, Marc Marquez, muncul juara dunia MotoGP buat kali ketiga selepas mendominasi Litar Motegi, Jepun, sebentar tadi.

Marquez dinobat juara selepas pencabar terdekat, Valentino Rossi, yang memulakan perlumbaan di petak pertama, mengalami kemalangan.

Rakan sepasukan Rossi, Jorge Lorenzo, turut mengalami nasib sama, sekaligus menghadiahkan kejuaraan ketiga buat pelumba Repsol Honda itu.

Marquez turut muncul selaku pelumba termuda pada usia 23 tahun yang telah memenangi tiga gelaran utama tersebut selepas melakukannya pada tahun 2013 dan 2014.

Lebih manis, ini merupakan kemenangan pertama di GP Jepun dalam kariernya.

Marquez -- antara empat pelumba yang muncul juara dunia dalam tiga kategori berbeza -- mengetepikan cabaran Andrea Dovizioso kedua dan Maverick Vinales ketiga dengan catatan masa 42 minit 34.610 saat.