Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) diiktiraf sebagai badan pengelola baru sukan permotoran Malaysia bagi menggantikan Persatuan Automobil Malaysia (AAM) yang sudah dibatalkan pendaftarannya tahun lalu.

Justeru, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) bersetuju MAM mengambil alih peranan sebagai badan induk sukan permotoran negara dengan serta-merta.

FIA, badan induk sukan permotoran empat roda, dalam satu kenyataan bertarikh 18 Jun lalu, berkata mereka telah memutuskan untuk mewakilkan tugas AAM kepada MAM yang diterajui Presiden, Tan Sri Mokhzani Mahathir, sebagaimana tertakluk dalam Perkara 5.2 dan 16.3 Statut FIA.

Setiausaha Agung FIA Bahagian Sukan Permotoran, Peter Bayer, berkata sebarang perkembangan lanjut mengenai perkara itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Sukan Permotoran Dunia, Oktober depan.

Beliau berharap MAM akan mengambil semua langkah sewajarnya sebagai badan berkuasa sukan permotoran di Malaysia.

Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) membatalkan pendaftaran AAM pada 30 November 2018 ekoran kegagalannya mematuhi pelbagai peraturan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.

Sementara itu, Mokhzani mengalu-alukan pengiktirafan FIA itu sambil menyatakan keutamaan badan induk baru itu adalah untuk memastikan sukan permotoran negara terus berkembang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

”Adalah penting bagi Malaysia mempunyai sebuah badan pengelola bagi melaksanakan aktiviti sukan permotoran dan menyokong pembangunan sukan itu serta memberi pengiktirafan kepada acara berkaitan permotoran.

"Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan sukan permotoran Malaysia menerima khidmat terbaik daripada kami,” katanya.

-- BERNAMA