Ketiadaan perlumbaan Formula Satu (F1) dalam kalendar penganjuran Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tidak memberi bayangan sukan permotoran di negara ini tidak lagi akan menjadi keutamaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menegaskan bahawa sumber yang digunakan untuk penganjuran F1 boleh disalurkan kepada perkembangan sukan permotoran dari sudut yang lain agar lebih mengutamakan kepentingan negara.

“Kita mahu melihat penyertaan yang lebih kukuh daripada Malaysia dan saya rasa itulah yang dimahukan oleh peminat-peminat di Malaysia, melihat pemandu-pemandu dari Malaysia turut serta dalam perlumbaan.

“Kini kita dalam proses merangka acara-acara lain di masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif F1, Chase Kerry, melihat SIC mengambil keputusan yang dianggap sebagai wajar selepas mengambil kira pelbagai faktor, namun dalam masa yang sama menegaskan ia tidak bermaksud Sepang tidak lagi mempunyai peluang untuk menganjurkan perlumbaan itu di masa akan datang.

“Ia merupakan langkah bijak memandangkan kami mahu memaksimumkan perlumbaan yang berlainan dan berbeza, dan kami sedang berusaha untuk mencapai sasaran itu,” ujar Kerry.