Malaysia bukan lagi destinasi ARRC

Oleh Penulis Jemputan 28 Disember 2017 1804
Malaysia bukan lagi destinasi ARRC
Kejutan berlaku dalam saingan permotoran Asia tahun depan apabila Malaysia tidak lagi menjadi salah satu destinasi Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), sebaliknya digantikan dengan Australia.

Malaysia, yang menganjurkan kejohanan itu sejak 1996, dengan barisan pelumba seperti Ahmad Fazli Sham yang pernah mewakili pasukan UMA Racing dalam kategori underbone 130cc, berasakan ia satu kerugian memandangkan saingan sebegini mendapat tempat di hati peminat tempatan.

Tambahan, untuk dua edisi dalam kategori Supersport 600cc sebelum ini diungguli pelumba tempatan -- Zaqhwan Zaidi memenanginya pada 2016 dan Azlan Shah Kamaruzaman pada 2017.

Justeru, kata Ahmad Fazli lagi, perlumbaan di laman sendiri penting untuk menunjukkan kejaguhan dan maruah sebagai peserta tuan rumah.

"Bagi saya, amat rugi sebab kami peminat tempatan sedang menanti-nanti aksi itu di Malaysia. Tetapi mungkin kita ada sedikit masalah. Harap-harap ia kembali ke Malaysia pada tahun depan," ujarnya.

Namun, dalam masa sama, penganjur, Two Wheel Motorsport, menggantikannya dengan satu destinasi baru iaitu Australia, dengan Bend Motorsport Park  di Adelaide akan menjadi venue bagi pusingan kedua ARRC pada April tahun depan.

"Australia juga mempunyai litar yang sangat menarik. Sebagai pelumba semua mahu merasai litar itu. Siapa pelumba ARRC yang dapat pergi ke sana saya ucapkan tahniah," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen