Lorenzo mungkin tidak beraksi di Thailand

Oleh Penulis Jemputan 6 Oktober 2018 213
Lorenzo mungkin tidak beraksi di Thailand
Pelumba Ducati, Jorge Lorenzo, menyatakan hanya kemungkinan kecil untuk dia berlumba dalam Grand Prix Thailand yang pertama kali diadakan berikutan kemalangan ngeri yang dilaluinya semalam.

Juara dunia tiga kali ini tercampak ke udara selepas terbabas dalam sesi latihan bebas kedua ekoran masalah teknikal.

Lorenzo bebas daripada sebarang tulang yang patah sebaik ujian X-ray dilakukan di hospital tempatan, namun dia mengalami bengkak di bahagian pergelangan tangan dan buku lali.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu akan membuat keputusan sama ada akan berlumba atau tidak pada petang ini.

"Kalau kamu tanya saya, ia sememangnya tidak," kata Lorenzo berkenaan penyertaannya dalam perlumbaan tersebut.

"Ini kerana kecederaan saya sewaktu di Aragon sebelum ini masih terasa. Ia tidak lagi patah, namun ia semakin sakit.

"Saya tidak pasti sepenuhnya tetapi saya rasakan tiada apa yang masih patah, itu adalah petanda baik.

"Saya bernasib baik walaupun kemalangan semalam sangat mengerikan. Buat masa ini, saya masih tenang. Saya sedar kemalangan tersebut bukanlah salah saya.

"Saya berasa amat takut, kaki saya sangat sakit. Saya menahan impak menggunakan belakang badan dan kaki. Saya berguling berkali-kali dan kaki kanan saya sangat sakit. Ia semakin baik selepas itu dan saya bernasib tidak ada apa-apa yang serius," tambahnya.

Rakan sepasukan Lorenzo, Andrea Dovizioso, mencatat masa kedua terpantas di belakang pelumba Yamaha, Mevrick Vinales, dalam sesi latihan bebas pertama semalam.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen