Juara dunia tiga kali MotoGP, Jorge Lorenzo, yang bakal membuat penampilan terakhir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bersama pasukan Yamaha musim ini, mengakui bakal bergelut dengan keadaan litar menjelang saingan GP Malaysia yang akan membuka tirai pada Jumaat.

Tahun 2016 menjadi tahun terakhir buat pelumba Sepanyol itu bersama Yamaha susulan telah mengikat kontrak untuk mewakili Ducati bagi musim 2017.

Kekosongan yang ditinggalkan pelumba itu bakal diisi oleh pelumba muda, Maverick Vinales dari pasukan Suzuki.

Minggu lalu, Lorenzo gagal menyerlah di GP Australia apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

"Saya perlu berjuang lebih baik minggu ini, saya juga mungkin akan bergelut berdasarkan keadaan litar dan cuaca yang panas.

"Bagaimanapun, perlumbaan di Sepang sentiasa mengujakan saya kerana cuaca panas menghadirkan cabaran buat pelumba," jelasnya.

Meskipun gagal mempertahankan kejuaraan dunia yang dimenangi musim lalu apabila dirampas pelumba Repsol Honda, Marc Marquez, Lorenzo mahu mempamerkan tunggangan yang mampu menggembirakan penonton yang hadir.

"Saya mahu penonton yang hadir berasa seronok melihat perlumbaan itu nanti," tambahnya.

Sementara itu, bekas dua kali juara dunia MotoGP, Casey Stoner, berpendapat Lorenzo akan berdepan kesukaran untuk mencapai keserasian bersama Ducati musim depan.

Enggan berselindung, Lorenzo mengakui ia adalah proses biasa yang perlu dihadapi setiap pelumba apabila menaiki jentera baharu.

"Sudah tentu saya akan sedikit bergelut kerana saya sudah bersama Yamaha untuk tempoh lapan hingga sembilan tahun.

"Tetapi, selaku pelumba MotoGP saya yakin tidak akan berdepan masalah untuk kembali memberi saingan sengit sebaik mencapai keserasian."

Lorenzo ditemui ketika di majlis pelancaran aplikasi SEND yang berlangsung di Send Network Sdn Bhd, Kota Damansara, semalam.