Litar Sepang bakar semangat Adam

Oleh Bernama 30 Oktober 2019 39
Litar Sepang bakar semangat Adam
Beraksi di laman sendiri di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) memberi semangat baru dan positif untuk pelumba Petronas Sprinta Racing Team (SRT), Adam Norrodin, mempamerkan aksi yang lebih baik.

Pelumba berusia 21 tahun yang dikenali dengan gelaran ‘Torete’ itu, yang mempunyai pengalaman tiga musim dalam saingan Moto3, mengakui litar berkenaan mempunyai kelebihan untuknya mengutip mata pertama dalam perlumbaan Moto2 hujung minggu ini.

Namun, dia tidak menafikan perlumbaan di Sepang sedikit-sebanyak akan memberi tekanan kepadanya. 

"Tekanan semestinya tetap ada sebab beraksi di tempat sendiri, jadi peminat meletakkan harapan tinggi untuk saya. Namun, saya akan tetap akan pastikan diri berada dalam keadaan tenang untuk perlumbaan kali ini. 

"Secara peribadi saya letak sasaran tinggi. Jika dapat kumpul mata, ia satu bonus untuk saya. Tapi saya tidak mahu letak tekanan ke atas diri sendiri. Saya hanya boleh janjikan persembahan terbaik," katanya ketika ditemui dalam sesi bertemu peminat di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur hari ini. 

Adam akan kembali bersaing dalam Kejuaraan Remaja Sepanyol (CEV) musim depan menggantikan slot Khairul Idham Pawi dalam perlumbaan kelas Moto2 bermula di GP San Marino. 

Khairul Idham terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan tangan kanannya di Sepanyol, Ogos lalu, susulan kecederaan yang dialaminya dalam GP Sepanyol, Mei lalu.

Mengulas lanjut mengenai aksinya hujung minggu ini, pelumba kelahiran Johor itu mengakui dia selesa untuk menunggang motosikal di Litar Sepang kerana ia merupakan tempat latihannya. 

"Kelebihan utama ialah kehadiran peminat tanah air dan juga ibu bapa saya yang datang untuk beri sokongan serta keadaan cuaca yang sebati dengan saya.

"Litar ini juga sudah pasti memberi kelebihan kepada saya berbanding pelumba lain kerana ia tempat latihan saya. Saya mahir dengan setiap inci di litar tersebut," katanya. 

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen