Litar Perlumbaan Motosikal dan Sprint Test yang dalam pembinaan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, dijangka siap sepenuhnya pada Januari tahun hadapan.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata litar yang menelan belanja hampir RM12.7 juta dan dibina pada keluasan tanah enam ekar itu turut bersedia dijadikan lokasi perlumbaan bertaraf antarabangsa.

“Projek ini mengikut jadual yang dirancang, iaitu 60 peratus. Malah, hanya tinggal kerja-kerja pemasangan dan percubaan alat-alat elektronik manakala pembinaan bumbung akan bermula minggu hadapan.

“Jika berlaku kelewatan mungkin atas faktor cuaca. Namun, saya diberi keyakinan oleh kontraktor bahawa tiada masalah untuk litar ini siap sepenuhnya, dibuka dan seterusnya digunakan pada awal Januari tahun hadapan.

“Persatuan Automobil Malaysia (AAM) sangat berpuas hati dengan perkembangan ini dan kami yakin tiada masalah untuk mendapat kelulusan daripada AAM.

“Litar ini mampu memuatkan 1,500 penonton dalam satu-satu masa. Malah, dengan adanya tempat duduk penonton dan grandstand yang bakal siap, kami menjangkakan kehadiran lebih ramai peminat daripada jumlah itu.

“Ketika ini juga, kami sudah menerima permohonan daripada pelumba-pelumba luar negara, malah pihak-pihak swasta juga menawarkan penajaan kerana di Malaysia tidak banyak litar yang menjadi kegilaan golongan muda ini,” jelasnya.