Pelumba MotoGP pertama negara, Hafizh Syahrin Abdullah, mengharapkan keadaan litar kering di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam perlumbaan MotoGP Malaysia 2018, Ahad ini.

Hafizh, 24, yang beraksi bersama pasukan Monster Yamaha Tech3 berkata trek yang basah akan membawa kesukaran buatnya memandangkan dia belum pernah berlumba dalam keadaan hujan sejak beralih ke Kelas Perdana.

“Sejujurnya saya harapkan cuaca baik serta trek yang kering sebab saya tidak ada pengalaman beraksi di litar basah,” katanya ketika ditemui pemberita dalam pra-acara sempena perlumbaan MotoGP Malaysia di Jalan Ampang, hari ini.

“Cuma saya perlu lebih konsisten di pertengahan perlumbaan untuk meraih keputusan yang lebih baik supaya apa yang terjadi dalam MotoGP Australia tidak berlaku di Sepang,” tambahnya.

Hafizh yang menyasarkan untuk muncul pelumba rookie terbaik musim ini mengakui sedikit tertekan, namun beraksi di laman sendiri sambil disaksikan puluhan ribu penyokong tempatan memberinya satu semangat serta motivasi terbaik.

“Tekanan itu pasti ada tetapi saya sebenarnya lebih bersemangat untuk berjuang di tempat sendiri kerana ramai rakyat Malaysia yang akan turun memberikan sokongan. Saya tidak sabar untuk memberikan satu persembahan terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Hafizh percaya rakan sepasukannya sudah bersedia memberikan komitmen 100 peratus dalam membantunya muncul pelumba rookie terbaik.

“Saya tak berani nak janji akan muncul pelumba rookie terbaik tetapi saya yakin dengan diri saya dan pasukan kami mampu untuk memberikan saingan sengit kepada semua pasukan,” katanya.

Hafizh yang diberi jolokan ‘El Pescao’ kini mengumpul 34 mata untuk menduduki tempat ke-18 selepas mengharungi 17 perlumbaan dan ketinggalan 12 mata di belakang pelumba Honda, Franco Morbidelli, bagi merebut gelaran pelumba rookie terbaik musim 2018.

-- BERNAMA