Bekas pelumba negara, Wazi Abdul Hamid, bersetuju dengan komen pelumba OneXOX TKKR SAG, Azlan Shah Kamaruzaman, bahawa pelumba juga seperti atlet yang lain, perlukan dorongan dalam membina kekuatan mental.

Wazi berkongsi mengenai perkara tersebut kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz, memandangkan nasib pelumba-pelumba negara dalam MotoGP 2021 yang masih samar.

"Pakej itu perlu ada, bukan sekadar motosikal sahaja.

"Sokongan daripada bahagian lain juga mampu memantapkan pelumba untuk lebih berdaya saing.

"Cuma saya lihat ini adalah isu berbangkit, saya tidak tahu sama adakah pelumba negara negara menghadapi masalah itu.

"Tetapi pelumba negara sememangnya perlukan elemen-elemen ini," katanya ketika dihubungi.




Sebelum ini, arena sukan permotoran dikejutkan apabila Khairul Idham Pawi (SuperKIP) digugurkan oleh Petronas-Yamaha Sepang Racing Team (SRT) bagi saigan Moto3 musim depan.

Selain daripada segi kekuatan mental ataupun dorongan, Wazi juga menyebut mengenai keserasian pelumba bersama jentera, satu faktor yang jarang dibangkitkan.

"Dunia perlumbaan ini, (kombinasi) pelumba dan motosikal sememangnya memainkan peranan.

"Pelarasan akhir kadang-kadang boleh membuatkan penunggang berasa tunggangan yang sedap.

"Malah, penunggang handalan Valentino Rossi mempunyai anggota (mekanik) sendiri.

"Dalam soal kompetitif ini ada pelbagai (faktor), orang dalam yang terlibat dalam perlumbaan ini tahu isu sebenar.

"Jadi perlu melihat secara menyeluruh," katanya lagi.

Setakat ini, Malaysia hanya mempunyai pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayuddin, dalam kancah Moto2 musim depan manakala masa depan pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah, masih dalam tanda tanya.