Keyakinan Robert Kubica tetap teguh dan dia positif mengenai peluangnya untuk kembali dalam kancah Formula Satu (F1) musim depan.

Kali terakhir pemandu Poland itu berlumba dalam F1 adalah bersama Renault pada 2010 dan selepas kemalangan rali, nasibnya berubah sama sekali.

Dia sempat menguji jentera Williams -- ekoran persaraan Felipe Massa pada penghujung musim ini -- dan berharap dapat mengisi kerusi kosong di samping Lance Stroll.

Pascal Wehrlein, Daniil Kvyat dan pemandu simpanan Williams, Paul di Resta, turut dikaitkan dengan peranan itu, namun Kubica yakin akan keupayaannya untuk berjaya pada 2018.

"Perkara paling penting adalah keyakinan dan kepercayaan yang saya boleh melakukannya," katanya kepada BBC Sport.

"Adakah (saya) 100 peratus (bersedia)? Ia bergantung, saya tidak pernah bersedia 100 peratus walaupun pernah terbabit dalam banyak perlumbaan penting.

"Saya telah melakukan banyak perkara, saya telah membuktikan diri sendiri dalam banyak perkara yang memberi saya keyakinan dan memberi saya jawapan yang positif tetapi keputusan itu bukan di tangan saya.

"Apapun hasilnya, tentu saja apabila ia menyebelahi anda, ia akan menjadi bagus tetapi kita tidak tahu, saya mahu terus berusaha setiap hari. Saya masih terus berlatih, saya tetap bersiap seperti saya mempunyai peluang.

"Sesetengah perkara memerlukan masa kerana kali terakhir saya memandu dalam F1 adalah lebih enam tahun lalu dan F1 telah banyak berubah.

"Anda perlu mendapatkan pengetahuan tentang hal yang mampu mengoptimumkan prestasi kereta dan saya telah banyak belajar mengenainya serta keyakinan saya telah meningkat," katanya.

Sebelum ini, Massa menyatakan minatnya kepada Formula E yang memulakan musim barunya pada hujung minggu lalu, begitupun pemandu Brazil itu tidak berminat untuk berubah angin sehingga kempen 2018/19.

"Saya tidak fikir saya akan berlumba dalam Formula E (pada 2017/18) kerana ia baru bermula dan kebanyakan pasukan sudah mempunyai pemandu mereka," kata Massa seperti yang dipetik oleh Crash.net.

"Saya mahu berlumba dalam kejohanan yang saya percaya boleh berada di puncak, berjuang untuk perlumbaan, kemenangan dan merebut kejuaraan. Jadi, saya akan menyediakan diri saya untuk mendapatkan jentera yang betul, pasukan yang tepat dan bermula dengan baik pada musim ini.

"Sekiranya saya berpeluang melakukan beberapa perlumbaan, saya tidak tahu sama ada saya akan berpeluang tetapi kejohanan itu sudah bermula dan saya tidak berminat sekadar mengambil bahagian sahaja," katanya lagi.