Buat tahun kedua berturut-turut, tiada tiket peluang khas (wildcard) dalam saingan Grand Prix (GP) Malaysia hujung minggu ini.

Ia susulan prestasi pelumba motosikal negara kurang menyerlah atau ada sebab lain mengapa tiada tiket peluang khas lagi selepas sembilan tahun Malaysia mempunyai pelumba tempatan untuk beraksi di atas tiket itu?

Buat pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, ada sebab mengapa Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, enggan menyediakan tiket peluang khas dalam GP Malaysia buat tahun kedua.

Selain daripada kos tinggi yang diperlukan untuk SIC mendapatkan satu tiket berkenaan yang mencecah lebih RM60,000, tiada pelumba yang benar-benar memberi impak untuk diketengahkan juga menjadi punca hilangnya slot 'wildcard' daripada GP Malaysia.

"Sekarang, kategori Moto2 sudah tidak boleh gunakan slot 'wildcard' kerana enjin sangat terhad. Untuk masa akan datang, tiada siapa tahu. Bagi Moto3, mungkin belum ada pelumba mampu bersaing," kata Hafizh Syahrin.

"Bagi saya, slot ini memang perlu. Tiket 'wildcard' sebenarnya tidak perlu dipohon kerana setiap negara penganjur memiliki slot sendiri. Namun, kami tidak memilikinya atas faktor kos.

"Daripada segi pelumba, ada dua atau tiga nama yang mampu bersaing," tambah bekas pelumba kebangsaan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.

Untuk rekod, sejak 2009, GP Malaysia akan meraih slot 'wildcard' buat pelumba sehingga 2017 dan antara pelumba yang pernah beraksi atas tiket itu ialah Hafizh Syahrin, Ramdan Rosli dan Kasma Daniel Kasmayuddin dua tahun lalu.

Dalam masa sama, Hafizh yang kurang menyerlah musim ini dengan keadaan jenteranya, Red Bull KTM Tech 3, difahamkan tidak menerima sebarang perubahan sejak awal musim ini, sekali gus menjadi alasan mengapa dia gagal menyinar musim ini.

Dia kini menduduki tangga ke-23 dengan lapan mata dan gagal meraih sebarang kedudukan podium.

"Saya sudah cuba yang terbaik tetapi keadaan jentera saya tiada sebarang kemas kini sejak awal musim. Jadi, ada sesetengah perlumbaan saya mampu bersaing tetapi tidak mampu raih keputusan terbaik disebabkan tiada kemampuan atau kelebihan. Itu membuatkan saya menjadi sukar," katanya.