Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi, akan meninggalkan Petronas Sprinta Racing Team (SRT) musim depan, demikian diumumkan pasukan Malaysia itu menerusi satu kenyataan dalam laman web rasmi mereka hari ini.

Pelumba dengan gelaran Super KIP itu menyertai Petronas SRT sebagai pelumba Moto2 pada 2019 dan selepas musim sukar disebabkan kecederaan jarinya, dia kemudian dialihkan untuk bersaing dalam kategori Moto3 musim ini.

Kecederaan itu jelas membelenggu Khairul Idham -- di mana dia terpaksa menjalani pembedahan membuang sebahagian jari kelingking kanannya pada Ogos lalu -- sehingga gagal mempamerkan prestasi terbaiknya musim ini.

Dalam kenyataan yang sama, Prinsipal Petronas SRT, Datuk Razlan Razali, berkata: "Dalam mengenal pasti bakat dan potensi KIP, amat jelas selepas dua tahun bersama, kami tidak dapat mencapai sasaran yang ditetapkan bersama.

"Kecederaan telah memainkan peranan dalam prestasi KIP sepanjang dua musim ini tetapi melihat kepada masa depan, kedua-dua pihak bersetuju bahawa kami perlu menuju ke haluan yang berbeza.

"Kami mendoakan yang terbaik untuk masa depan karier KIP," katanya.

News: PETRONAS Sprinta Racing and Khairul Idham Pawi to part ways KIP to leave the Malaysian squad at the end of 2020...

Posted by PETRONAS SRT on Tuesday, 20 October 2020


Dalam pada itu, Khairul Idham berkata: "Dua musim ini amat sukar disebabkan kecederaan tetapi saya menikmati waktu sepanjang menjadi sebahagian daripada Petronas Sprinta Racing Team. Saya mahu berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam pasukan ini, semua kru dan rakan kongsi kerana membantu saya sepanjang dua musim ini, pada waktu baik dan pada waktu buruk.

"Saya mendoakan kejayaan pasukan ini pada masa depan kerana mereka orang yang baik.

"Sudah pasti saya mahu terus berlumba, jadi saya akan berusaha untuk mencari pilihan terbaik buat karier saya.

"Saya akan mencuba yang terbaik untuk membuktikan semula potensi saya dan memberikan hadiah buat penyokong yang selama ini menyokong saya sejak dari mula. Terima kasih semua!" katanya.