Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, merancang untuk membawa isterinya ke Sepanyol selepas sah bergelar suami kepada Suzana Abdul Manaf.

Itu perancangan awal Hafizh yang ingin ditemani isterinya di Sepanyol bagi menghadapi saingan baru MotoGP 2018.

Hafizh, yang kini menggalas tanggungjawab lebih besar sebagai suami, bersyukur kerana dipertemukan jodoh yang cukup memahami kerjayanya selama ini.

Baginya, kehadiran Suzana tidak pernah sesekali menjejaskan fokusnya, malah merupakan pelengkap hidup yang pasti memberi motivasi baru kepada Hafizh untuk mengecapi lebih banyak kejayaan pada musim depan.

"Insya-Allah saya akan bawa isteri bersama dalam perlumbaan terdekat, mungkin di Qatar nanti.

"Saya akan ke sana dalam jangka masa yang lama. Saya takut dia tidak serasi dengan keadaan, pemakanan atau merindui keluarga," katanya.

Dia hanya mempunyai cuti sehingga pertengahan bulan depan sebelum bersedia untuk perlumbaan pertama.

Hafizh yang kini bersama SIC Racing Team bakal berdepan dua sesi ujian perlumbaan di Valencia, Sepanyol, pada Februari nanti.

"Saya mahu bersaing dalam MotoGP tetapi saya sedar dengan kedudukan saya ketika ini. Kalau cemerlang pada tahun depan, mungkin saya berpeluang," katanya.