KBS salur dana kepada Hafizh Syahrin

Oleh Bernama 18 Oktober 2019 216
KBS salur dana kepada Hafizh Syahrin
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyalurkan dana khas bagi membantu pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, menghadapi saingan Moto2 musim depan.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata pihaknya akan menyalurkan bantuan itu menerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi memastikan pelumba berusia 25 tahun itu dapat terus kekal bersaing di pentas permotoran antarabangsa.

“Saya telah berhubung dengan (Ketua Pegawai Eksekutif SIC), Datuk Razlan Razali, dan saya akan pastikan Hafizh beraksi dalam saingan Moto2 walaupun Petronas tidak mahu menaja Hafizh Syahrin,” katanya.

Untuk rekod, Hafizh Syahrin merupakan pelumba Malaysia pertama bersaing dalam kelas perdana MotoGP tahun lalu dengan menyertai pasukan Yamaha Tech3 Racing.

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu, terpaksa bergelut pada musim ini selepas bertukar kepada jentera KTM, yang menyaksikan dia gagal meraih keputusan memberangsangkan.

Ekoran daripada itu, pasukan KTM Tech3 tidak meneruskan kontrak Hafizh Syahrin bagi musim depan, sehingga memaksanya kembali beraksi dalam kelas Moto2 bersama pasukan Angel Neito Team.

Pelumba itu juga bakal berdepan situasi lebih sukar apabila bakal mengharungi tempoh semusim tahun depan tanpa dibayar gaji.

Sementara itu, Syed Saddiq menafikan KBS bersikap lepas tangan dengan tidak membantu industri sukan permotoran susulan pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.

Beliau sebaliknya menegaskan KBS telah menyalurkan jumlah dana yang agak banyak kepada SIC sebelum ini dalam mengasah lebih ramai bakat-bakat baru dalam sukan permotoran di negara ini.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen